Galas: PKR Sokong Calon Pas

Diterbitkan: Rabu, 6 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Rabu akan menyokong calon Pas untuk mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR tiada masalah dengan calon yang bakal diletakkan oleh Pas dan akan memberi sokongan penuh kepada calon itu nanti.

Malah katanya, satu perbincangan dengan Jabatan Pilihan Raya Pas Kelantan bersama Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah telah diadakan mengenai perkara tersebut.

"Tiada masalah siapa juga calon yang bakal diletakkan oleh Pas dan PKR akan menyokong sepenuhnya calon tersebut," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tumpuan akan diberikan kepada strategi untuk mempertahankan Galas dan memberitahu jentera pilihan raya telah digerakkan.

"Kita telah ada pasukan yang akan membantu pada pilihan raya kecil itu nanti untuk mengkaji profil pengundi dan mempersiapkan diri," jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu menetapkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (N.45) Galas akan diadakan pada 4 November sementara penamaan calon pula pada 26 Oktober 2010.

Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar selepas suruhanjaya berkenaan bersmesyuarat lebih dua jam.

Pilihan raya kecil bagi DUN Galas perlu diadakan berikutan dengan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaiman akibat barah usus.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham mendapat 4,399 menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan Paloh.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan