MAS Selesai Program Ubah Suai B747-400 Untuk Musim Haji

Diterbitkan: Selasa, 5 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bahagian Sewa Khas dan Haji Malaysia Airlines (MAS), MAS Charter, mengumumkan penyelesaian program pengubahsuaian pesawat B747-400 untuk menerbangkan jemaah haji ke Jeddah dan Madinah di Arab Saudi.

Ini bermakna peningkatan kapasiti daripada 359 tempat duduk kepada 454 tempat duduk dengan 12 tempat duduk kelas pertama dan baki 442 kelas ekonomi, kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan.

Ia berkata, tempat duduk tambahan ekonomi dalam pesawat itu berkeluasan 33-34 inci dan lebar 18-19 inci, dengan sokongan ruang meletak kaki dan tulang belakang.

"Dengan penyelesaian program itu, kami kini menggunakan sebuah pesawat B747-400 yang diubah suai dengan 454 kapasiti tempat, sebuah pesawat B747-400 dengan 359 tempat duduk dan sebuah pesawat B777-200 dengan kapasiti 282 tempat duduk.

Ia membabitkan 98 penerbangan dengan membawa lebih 14,000 jemaah ke Tanah Suci," kata Naib Presiden Bahagian Sewa Khas dan Haji Malaysia Airlines, Kapten Nik Ahmad Huzlan.

Malaysia Airlines menandatangani kontrak dua tahun dengan Lembaga Tabung Haji Julai tahun ini untuk menyediakan perkhidmatan Sewa Khas Haji antara Malaysia dan Jedah dan Madinah untuk Musim Haji 2010/2011. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan