Dewan Ulama Bermesyuarat Sabtu Ini Bincang Jentera Dan Calon Galas

Diterbitkan: Selasa, 5 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Dewan Ulama PAS akan bermesyuarat Sabtu ini bagi menyusun jentera pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi membantu calon parti itu yang akan bertanding, kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakub.

Beliau, yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, mesyuarat itu akan juga membincangkan aspek gerakan jentera ulama termasuk aktiviti ceramah sewaktu kempen pilihan raya tersebut.

Mesyuarat itu turut membincangkan dan memberikan cadangan mengenai pemilihan dan ciri calon yang akan bertanding tetapi kuasa untuk menentukan calon terletak pada Dewan Syura sebagai badan tertinggi parti, katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar, di JKR 10, di sini hari ini.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, di Kuala Lumpur akibat barah usus pada 27 Sept lalu.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan bermesyuarat esok untuk menentukan hari penamaan calon dan pengundian.

Mengenai Orang Asli, Ahmad yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS (I) Kelantan berkata kira-kira 1,800 masyarakat Orang Asli di enam kawasan peti undi layak mengundi pada pilihan raya kecil itu.

Oleh itu, katanya PAS tidak memandang kecil penglibatan masyarakat Orang Asli dalam pilihan raya kecil kali ini kerana ia juga akan menjadi undi penentu kemenangan seseorang calon yang bertanding. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan