Ancaman Raja Petra Gambaran Penyokong Pembangkang - Muhyiddin

Diterbitkan: Selasa, 5 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan "ancaman" yang dibuat oleh penulis blog Raja Petra Kamarudin menarik diri daripada menyokong Pakatan Rakyat (PR) sebagai gambaran kepada persepsi para penyokong pembangkang terhadap daya kepimpinan parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata keadaan tersebut menjadi satu petanda hilang keyakinan anggota dan penyokong terhadap daya kepimpinan PKR.

"Saya baca juga laporan dalam blog (berkenaan kenyataan Raja Petra)...mempertikaikan kepimpinan, cakap tak serupa bikin, tidak menunaikan janji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata perkara itu bukan perkembangan baru kerana sebelum ini pengasas dan pimpinan atasan PKR juga telah keluar meninggalkan parti tersebut.

Katanya, semakin ramai anggota termasuk di peringkat atas dan anggota bawahan di bahagian dan cawangan telah sedar dan bertindak meninggalkan parti berkenaan.

"Ahli (sendiri) sedar dan tidak lagi yakin...kita harap (rakyat) mengambil iktibar dan buka hati, fikir," katanya.

Menurut portal berita The Malaysian Insider, Raja Petra, juga dikenali sebagai RPK, menyatakan rasa kurang senang dengan apa yang beliau dakwa kegagalan Pakatan memenuhi manifesto pilihan raya sekalipun sudah menguasai beberapa buah negeri selama lebih dua setengah tahun.

Pernyataan rasa kecewa RPK dilahirkan pada majlis dialog dengan rakyat Malaysia di London pada Ahad yang turut dihadiri oleh pemimpin Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RPK juga mengancam menarik diri daripada menyokong PR dalam pilihan raya kecil Galas akan datang oleh kerana PR telah gagal memenuhi janji yang dipersetujui sebelum pilihan umum Mac 2008.

Ditanya mengenai pergolakan kepimpinan DAP Perak, Muhyiddin berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan masyarakat dan rakyat untuk menilai serta membuat ukuran atas apa yang berlaku itu.

Mengulas keputusan bekas presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik melepaskan jawatan penasihat parti itu kerana kecewa dengan kepimpinan presiden sekarang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Muhyiddin berkata kepimpinan Gerakan perlu lebih agresif menangani pelbagai isu yang berbangkit.

"Saya fikir kepimpinan Gerakan mengambil berat pandangan Lim (Keng Yaik)...tak sukar nak selesaikan," katanya.

Muhyiddin berkata inisiatif perlu daripada Gerakan sendiri dan tidak perlu campur tangan dari luar, katanya ketika ditanya sama ada kepimpinan BN akan berusaha menjadi orang tengah membantu menyelesaikan masalah dalam Gerakan.

"Tidak perlu campur tangan, nanti ada yang fikir Gerakan lemah...kita perlu hormati keputusan mereka (pemimpin Gerakan) daripada sudut parti masing-masing," ujarnya.

Beliau juga berkata BN menghormati keputusan yang dibuat oleh Dr Lim sebagai orang lama yang tahu selok belok politik.

"Itu keputusan beliau, kena hormati," katanya.

Dr Lim, yang menyerahkan kepimpinan parti itu kepada Koh pada April 2007, semalam berkata beliau tidak berpuas hati dengan penggantinya itu yang gagal mengambil tindakan proaktif dalam menyelesaikan banyak isu melibatkan Gerakan walaupun telah diberi pelbagai nasihat.

Ditanya mengenai titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mengingatkan semua pihak agar jangan sekali-kali mempersoalkan kuasa raja dan mempertikaikan hak serta keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin berharap ia diberi perhatian oleh semua pihak.

Katanya, titah yang dibuat oleh Sultan Johor dan beberapa Sultan sebelum ini mengenai perkara itu adalah suara hati Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada orang Melayu. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan