PM Akan Tentukan Tarikh Rasmi Terminal Pengangkutan Bersepadu

Diterbitkan: Isnin, 4 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diberikan penghormatan untuk memilih tarikh yang sesuai pembukaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan yang telah pun 98 peratus siap ketika ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, penghormatan itu diberikan kepada Najib kerana beliau adalah individu yang bersungguh-sungguh untuk melihat projek berkenaan terlaksana demi kepentingan rakyat.

Katanya, Perdana Menteri juga akan melawat terminal itu pada 17 Oktober ini bagi melihat sendiri kemudahan dan kecanggihan bangunan tersebut sebelum mendapat 'lampu hijau' untuk beroperasi dan dibuka kepada awam.

"Projek ini amat bermakna kepada Perdana Menteri kerana ia diambil kira berdasarkan rungutan rakyat yang mahukan sistem pengangkutan di negara ini lebih komprehensif dan beliau sendiri telah menjalankan kajian mendalam serta memasukkan projek ini sebagai salah satu bidang pencapaian petunjuk utama (NKPI).

"Ini adalah hasil daripada usaha beliau dalam merialisasikan permintaan rakyat dan adalah penting untuk kerajaan memberi penghormatan kepada beliau untuk melihat sendiri terminal itu sebelum menetapkan tarikh pembukaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Nazri berkata, beliau sendiri berpuas hati dengan kecanggihan dan infrastruktur bangunan tersebut yang menelan belanja sebanyak RM570 juta dan percaya ia dapat menyelesaikan masalah berhubung perkhidmatan awam di negara ini seperti ulat tiket.

"Saya sendiri berpuas hati dengan bangunan ini dan dari makluman daripada Maju Holdings, telah sedia untuk dibuka kepada awam pada bila-bila masa.

Malah katanya, taklimat bersama persatuan dan pemain dalam industri pengangkutan telah diadakan dan maklum balas yang diterima cukup baik.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai terminal tersebut tidak menyediakan kemudahan kepada pengguna yang ingin ke arah utara, Nazri menyarankan persatuan berkaitan membuat satu memorandum mengenai perkara itu kepadanya untuk diperhalusi sebelum membuat keputusan.

"InsyaAllah, keputusan akan berpihak kepada rakyat kerana pembinaan terminal ini adalah untuk kemudahan rakyat dan bukannya menyusahkan mereka," katanya.

Nazri berkata, cukai perkhidmatan mungkin akan dikenakan kepada pengguna demi memastikan penyelenggaran terminal itu dapat dilaksanakan dengan baik demi kepuasan pelanggan.

Katanya lagi, beliau percaya rakyat tidak akan berkira untuk membayar cukai perkhidmatan sesuai dengan kecanggihan dan perkhidmatan di situ nanti.

"Belum diputuskan lagi, itu semua hanya cadangan dan masih diperingkat perbincangan. Namun saya yakin rakyat tidak akan berkira untuk membayar cukai perkhidmatan dengan semua kecanggihan yang terdapat di sini," ujarnya.

Terminal yang dibangunkan di atas tanah seluas 20 hektar itu mempunyai enam tingkat, 55 platform bas, 150 ruang teksi, 1000 ruang tempat letak kereta dan 1,800 tempat duduk untuk pengguna dengan sistem hawa dingin di ruang menunggu dan sistem tempahan tiket secara interaktif mesra pengguna.

Terminal bersepadu itu antara lain menyediakan kemudahan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kemudahan Express Rail Link (ERL), komuter dan transit aliran ringan (LRT) mampu menampung 45,000 pengguna setiap hari.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan