Muhyiddin Tegur Azmin Sifatkan Dr Mahathir 'Pemimpin Tersungkur'

Diterbitkan: Isnin, 4 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur", tidak wajar dan tidak mencerminkan nilai akhlak yang baik seorang pemimpin.

"Ini tak sepatutnya berlaku. Kita dalam politik, kita mesti ada nilai moral dan akhlak dan sebagai manusia kita juga mesti hormat menghormati.

"Tun Mahathir adalah seorang negarawan ulung yang sudah banyak berjasa kepada negara," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Azmin hari ini yang menyifatkan Dr Mahathir yang sedang menerima rawatan di Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur" di negara itu.

Azmin membuat sindiran itu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR cabang Gombak semalam. Pemimpin PKR itu juga dipetik sebagai berkata bahawa ia disebabkan kedegilan Dr Mahathir bersekongkol dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang didakwa memperjuangkan agenda perkauman sempit.

Muhyiddin berkata Azmin sepatutnya berpandu kepada perasaan kemanusiaan.

"Bila Tun Mahathir uzur dan masuk hospital, seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Tun cepat sembuh dan pulang untuk berkhidmat kepada negara atas kapasiti beliau sebagai mantan Perdana Menteri.

"Jadi kenyataan itu tidak sepatutnya timbul kerana kita saling hormat-menghormati. Tak tahu la kalau begitulah kepimpinan dalam PKR," katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan kenyataan Mohamad Azmin itu sebagai satu penghinaan kepada Dr Mahathir.

Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan itu adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak boleh diterima semua pihak.

"Kita boleh punya pendapat yang berbeza dan saya sendiri punyai pendapat yang berbeza dengan Tun, tapi jangan sampai menggunakan perkataan yang menghina.

Macam mana kalau dia masih lagi ada ibu, (kemudian) kita kata ibu dia tersungkur, apa yang dia rasa. Ini tak boleh diterima.

"Walaupun dia kawan saya, tetapi ayat-ayat seperti ini tidak patut digunakan. Kita boleh mempunyai perbezaan politik tapi tamadun timur kita, kita mesti jaga," katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan di sini, Isnin.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri ketika mengulas mengenai laporan kenyataan berbaur perkauman oleh pegawai Biro Tata Negara (BTN) baru-baru ini berkata modul yang diajar dalam program BTN tidak menyeru supaya api kebencian kepada mana-mana kaum dibangkitkan.

"Tidak ada modul BTN yang mengajak supaya berlaku kebencian dan penghinaan kaum di negara kita. Tetapi apa yang berlaku, (dimulakan) individu yang tertentu dan apa yang dia buat itu, tak semestinya dipandu oleh modul kita. Modul kita adalah untuk mendatangkan kecintaan kepada negara," katanya.

Sebelum ini, laman portal berita 'The Malaysia Insider' melaporkan bahawa Timbalan Pengarah BTN Wilayah Persekutuan, Hamim Husin telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada sesi tertutup dengan Pergerakan Puteri UMNO pada 27 Sept lalu.

Justeru, Kabinet, katanya pada Rabu lepas, telah mengingatkan setiap pegawai kerajaan supaya tidak mengeluarkan apa-apa perkataan yang boleh disifatkan sebagai perkauman dan penghinaan terhadap mana-mana kaum di negara ini.

"walau apa pun tindakan mesti diambil," katanya.

Sementara itu, mengenai perjumpaannya dengan Namewee atau Wee Meng Chee yang dijadualkan diadakan Rabu lepas, Mohamed Nazri berkata perjumpaan tersebut dibatalkan olehnya kerana pemuda itu enggan memohon maaf dan hanya untuk menyatakan sokongannya terhadap Gagasan 1Malaysia.

"Rabu lepas, pegawai saya ada terima panggilan mengatakan Namewee nak jumpa dengan saya untuk nak menyatakan sokongan dia terhadap 1Malaysia dan mahu meminta maaf atas tindakan dia.

"Tetapi kemudian apabila saya habis (mesyuarat) Kabinet, saya minta pegawai saya menghubungi pengurusnya dan pengurusnya kata dia nak nyatakan sokongan kepada 1Malaysia tetapi tak mahu minta maaf. Jadi saya kata tak payah jumpalah kalau macam itu. Itu sebab saya batalkan," katanya.

Namewee mencetuskan kontroversi di negara ini dengan menerbitkan klip video terbarunya yang berbaur perkauman selepas klip video "Negarakuku".

Mohamed Nazri berkata bagaimana pun, klip video yang dihasilkan Namewee tidak mencerminkan perkauman sebaliknya menghina negara.

"Saya nak sebut, ia bukan perkauman tetapi penghinaan terhadap bendera, lagu NegaraKu dan semua kesalahan ini dia dilakukan terhadap rakyat Malaysia. Saya telah minta pandangan Peguam Negara mengenai apakah tindakan yang boleh diambil terhadap beliau kerana menghina lambang Malaysia," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan