Dr Mahathir Semakin Sihat

Diterbitkan: Isnin, 4 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi respons baik terhadap rawatan yang beliau terima di Epworth Hospital Melbourne Australia, setelah dimasukkan ke hospital itu kerana mengadu sakit dada.

"Para doktor gembira dengan perkembangan kesihatan Dr Mahathir dan beliau memberi respons baik kepada rawatan antibiotik serta fisioterafi," menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat bekas perdana menteri itu di sini.

Ahad pagi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir melawat bapanya di hospital itu dan menikmati sarapan pagi bersama-sama bapa dan ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Kenyataan berkenaan berkata doktor menasihati Dr Mahathir supaya terus berehat dan memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu diletakkan di bawah pengawasan di wad biasa hospital berkenaan selama beberapa hari lagi.

"Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah juga menyampaikan salam dan penghargaan mereka kepada semua yang mengutuskan ucap selamat dan mendoakan agar beliau lekas sembuh," kata kenyataan itu.

Dr Mahathir, yang ditemani Dr Siti Hasmah, tiba di sini pada Khamis dan dijadualkan berucap pada seminar pembangunan insan anjuran Kelab Umno Australia Melbourne di University of Melbourne pada Sabtu.

Beliau meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang singgah di Melbourne setelah menghadiri Persidangan Forbes Global CEO di Sydney, berucap bagi pihaknya pada seminar itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan