Tindakan Tegas Terhadap Penjawat Awam KDN Terbabit Salah Laku - Hishammuddin

Diterbitkan: Ahad, 3 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Perbuatan salah laku penjawat awam agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan dibiarkan malah akan diambil tindakan tegas termasuk dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin, katanya Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata tiada warga kerja di bawah KDN termasuk pegawai yang memegang jawatan penting, boleh meletakkan diri mereka melebihi undang-undang yang ada dan terkecuali daripada tindakan.

"Kita tidak akan membenarkan mereka (yang melakukan kesalahan) mencemar (imej) mereka yang betul-betul komited dan jujur dalam menjalankan tanggungjawab di bawah agensi masing-masing," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kes tangkapan petugas Jabatan Imigresen terutama di pintu masuk negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat perbuatan rasuah.

Hishammuddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu sebelum itu menghadiri Majlis Perjumpaan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Marang dan Bahagian Kuala Nerus Empat Peringkat di sini Ahad.

Katanya kementerian sentiasa memantau dan membendung kes-kes salah laku melibatkan petugas agensi di bawah kementerian itu termasuk Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kerana ia menjejaskan integriti dan kredibiliti agensi-agensi terlibat.

Begitu juga dengan kes salah laku 10 anggota polis yang dikatakan mencuri kira-kira 40 kilogram syabu di Pahang tahun lalu yang menurutnya perbuatan itu adalah perlakuan jenayah yang harus dikenakan tindakan mengikut Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun, ia tidak menggambarkan semua pegawai-pegawai kita, masih ramai pegawai imgresen, ramai warga PDRM, ramai anggota Rela yang bangga dan tidak mencemarkan institusi dan agensi masing-masing," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan