Cuepacs Berhasrat Temui KSN Rayu Nasib 314 Penghuni Kuarters Jalan Cochrane

Diterbitkan: Ahad, 3 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhasrat menemui Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi mengemukakan rayuan mewakili penghuni kuarters kerajaan kawasan Cochrane di sini, ekoran arahan supaya mereka berpindah ke kuarters lain di Putrajaya pada 15 Disember ini.

Presidennya Omar Osman berkata arahan berpindah melalui notis bertarikh 4 Mei lepas oleh Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri kepada 314 kakitangan kerajaan daripada pelbagai jabatan itu wajar dikaji semula termasuk diberi penangguhan sehingga penempatan baru termasuk pembayaran saguhati diselesaikan.

"Cuepacs berharap masalah ini dapat dirunding semula dan ditangguh ke akhir tahun hadapan.

"Kerajaan perlu mengambil berat mengenai semua aspek seperti kos perpindahan, pertukaran sekolah anak-anak kakitangan dan pelbagai masalah lain," katanya kepada pemberita selepas menemui penghuni kuarters itu, yang kebanyakannya berkhidmat dalam kumpulan sokongan di sini, Ahad.

Pada perjumpaan itu, Omar turut menerima memorandum daripada Anggota Jawatankuasa Bertindak penghuni terbabit untuk diserah kepada Mohd Sidek pada tarikh pertemuan yang akan ditetapkan kelak.

Omar berkata Cuepacs juga akan membincangkan perkara itu pada mesyuarat kongres di Pejabat Cuepacs, di sini 8 Oktober ini.

Beliau berkata Cuepacs tiada hasrat untuk membantah keputusan kerajaan berhubung arahan berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan di kawasan itu tetapi sewajarnya perancangan rapi dibuat tanpa menjejaskan kebajikan penghuni yang kebanyakannya telah berkhidmat selama puluhan tahun dengan jabatan kerajaan.

Omar berkata antara cadangan Cuepacs ialah kerajaan memberi saguhati perpindahan sebanyak RM5,000 untuk setiap keluarga bagi menampung kos pindah yang tinggi selain mereka diberi keutamaan untuk dipindahkan ke kuarters lain yang lebih dekat dengan tempat kerja.

"Saya dimaklumkan terdapat penghuni OKU (Orang Kelainan Upaya) yang tinggal bersama keluarga masing-masing dan keperluan mereka perlu diutamakan," katanya.

Sementara itu, penghuni OKU yang ditemui, Khusaini Saimon, 54, berharap kerajaan dapat membuat keputusan terbaik berhubung perkara itu.

"Saya telah menetap di kuarters ini sejak 22 tahun lepas dan arahan berpindah akhir tahun ini amat membebankan.

"Walaupun dapat tawaran kuarters Putrajaya, tetapi kuarters baru terlalu jauh dari tempat kerja, dan bakal menyusahkan saya untuk bergerak termasuk masalah pengangkutan awam," katanya yang buta dan bekerja sebagai Pembantu Setiausaha di Lembaga Peperiksaan di Jalan Duta, di sini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan