Adnan Terima Doktor Kehormat Pendidikan Universiti Yarmouk

Diterbitkan: Ahad, 3 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

AMMAN (JORDAN): Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Yarmouk, Jordan, Ahad.

Penganugerahan julung kali itu disampaikan Presiden Universiti Yarmouk, Prof Dr Sutan Abu Orabi pada satu majlis di universiti itu di bandar Irbid, kira-kira 85 km ke utara Amman.

Penganugerahan oleh universiti tertua di Jordan itu (ditubuhkan pada 1976) ialah sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan Adnan dalam bidang pendidikan khususnya berbentuk galakan dan bantuan kewangan kepada anak-anak negeri Pahang demi melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Penganugerahan tersebut turut bermatlamat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara Kolej Antarabangsa IKIP milik Yayasan Pahang dengan Universiti Yarmouk yang kini memasuki tahun kesembilan terutamanya menerusi penghantaran pelajar-pelajar anak negeri Pahang ke universiti itu.

Adnan ketika berucap pada majlis berkenaan menyifatkan penganugerahan itu sebagai penghormatan besar kepada kerajaan negeri Pahang yang dinaungi pemerintahan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

"Kita berharap kerjasama antara Jordan terutamanya dengan Universiti Yarmouk dan Kolej IKIP milik Yayasan Pahang dalam bidang pendidikan akan dapat diperkemaskan lagi," katanya.

Ketika ini terdapat 400 pelajar Malaysia belajar di Universiti Yarmouk dalam pelbagai bidang jurusan dan 130 daripadanya adalah tajaan Yayasan Pahang.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Junaini Abu Kassim dan Pengurus Besar Yayasan Pahang Datuk Saariah Saad.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan