Pertempuran Personaliti Ku Li Dan Nik Aziz Di Galas

Diterbitkan: Jumaat, 1 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keputusan pucuk pimpinan Nasional (BN)memilih pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya parti bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan datang dialu-alukan oleh parti komponen BN dan penganalsis politik.

Mereka yakin personaliti utuh anggota Parlimen Gua Musang itu akan menjadi faktor utama yang dapat membantu BN merampas semula kerusi DUN Galas, berdasarkan rekod baik dan pengaruh beliau di kawasan itu.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Dr P. Sivamurugan berkata bagi memenangi semula sokongan kepada BN di Galas, tiga puak dalam Umno Kelantan perlu memberikan sokongan padu kepada Tengku Razaleigh.

"Mereka perlu menggunakan strategi Manik Urai, iaitu hanya ada satu pasukan," katanya semasa dihubungi pada Khamis.

Sivamurugan berkata walaupun Tengku Razaleigh mendapat sokongan padu daripada partinya di Gua Musang, beliau masih perlukan sokongan pemimpin Umno negeri seperti pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas pengerusinya Tan Sri Annuar Musa dan timbalan pengerusi sekarang Datuk Dr Awang Adek Hussein untuk membantu beliau sebagai pengarah pilihan raya.

"Jika mereka ini tidak memberikan sokongan padu kepadanya, dengan itu agak sukar bagi Tengku Razaleigh walaupun beliau merupakan ikon di kawasan itu," katanya.

Tengku Razaleigh menjadi Adun bagi Hulu Kelantan Barat pada 1969 dan kemudiannya anggota Parlimen Hulu Kelantan sejak 1974. Hulu Kelantan kemudiannya diubah nama kepada Gua Musang pada pilihan raya umum 1986.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS akibat barah usus pada 27 Sept. Dalam pilihan raya umum 2008, beliau memperoleh 4,399 undi, menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.

Selain memilih Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya, pucuk pimpinan BN juga berkata mereka akan memilih calon setempat untuk bertanding di kerusi itu.

"Dalam pilihan raya umum lepas, jumlah yang mengundi di kerusi ini agak tinggi, kira-kira 80 peratus ekoran kedua-dua pihak meletakkan calon setempat berwibawa. Bagaimanapun, satu-satunya masalah yang perlu ditangani BN ialah mengenai kemerosotan sokongan di kalangan bukan Melayu," kata Sivamurugan.

Hakikatnya, katanya kegagalan BN mengekalkan kerusi itu pada 2008; pertama kali mereka tewas, adalah disebabkan kemerosotan sokongan daripada pengundi Cina kerana undi Melayu terbahagi antara Umno dan PAS.

Menurut senarai daftar pemilih yang lepas, terdapat 10,330 pengundi di kawasan itu, 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina, 10.5 peratus Orang Asli dan 1.8 peratus India. Kebanyakan masyarakat Cina tinggal di pekan Gua Musang.

"Kaum Cina pasti akan terpengaruh dengan pilihan raya kecil ini. Oleh itu, strategi BN perlu menumpukan mengenai bagaimana mereka memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang, iaitu kerana faktor calon dan bukannya faktor parti," katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Gerakan Kelantan Datuk Ng Chiang Chin berkata kemerosotan sokongan kaum Cina kepada BN di kawasan itu tidak boleh dipersalahkan bagi keputusan pilihan raya umum di kawasan itu.

"Dalam pilihan raya umum lepas, keadaan agak huru-hara. Sebab itu kita menyaksikan penurunan sokongan kaum Cina. Bagaimanapun, dalam pilihan raya kecil kelak, dengan jentera yang lebih tersusun dan lebih bersedia, kita mempunyai peluang lebih baik," katanya.

Walaupun Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu, masih merupakan pertandingan yang sukar bagi BN ekoran beberapa isu.

Seperti ditegaskan oleh Sivamurugan, isu utama ialah royalti minyak untuk Kelantan.

"PAS pasti akan memainkan isu bagaimana Tengku Razaleigh menyokong kerajaan negeri pimpinan PAS itu dalam tuntutan bagi royalti minyak.

"Sebab itu kenapa dalam pilihan raya kecil ini, kita bakal menyaksikan pertempuran personaliti antara Tengku Razaleigh dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik (Abdul) Aziz Nik Mat," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan