Kesan Buruk Kepada Rakyat Jika BN Hilang Kuasa Memerintah - PM

Diterbitkan: Jumaat, 1 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis, mengingatkan bahawa kehilangan kuasa memerintah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh mendatangkan kesan buruk terhadap pembangunan dan kebajikan rakyat.

Perdana Menteri berkata oleh itu rakyat perlu bijak menggunakan peluang yang ada dalam membuat pilihan kerajaan.

Dalam ucapannya pada majlis Malam Sejuta Harapan Ke-6 sempena ulangtahun Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) ke-20, di sini malam Khamis, beliau turut melahirkan rasa kesal kerana hasrat YBK untuk mendirikan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah ditolak oleh kerajaan negeri Selangor atas alasan yang tidak munasabah.

"Impian saya nak lihat di Serendah, tapak YBK itu tetap dibangunkan, kalaupun bukan UiTM, boleh dimajukan untuk bantu orang miskin. Ini akan terjadi hanya jika Selangor dipimpin semula oleh Barisan Nasional, ini akan menjadi kenyataan", katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk pembatalan cadangan pembinaan kampus UiTM oleh YBK di Serendah, Rawang awal tahun ini yang disahkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang enggan meluluskan tapak, dan ekoran pembatalan itu kampus tersebut dipindahkan ke Jasin, Melaka.

Sementara itu Najib berkata, kerajaan tidak pernah dan tidak akan mengabaikan golongan miskin dan golongan kurang bernasib baik meskipun pelbagai program trasformasi seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) diperkenalkan.

"Kita sentiasa meneliti apa yang dilakukan kini. Setiap gagasan kerajaan kita tidak lupa memasukkan aspek keperihatinan terhadap kategori miskin dan kurang bernasib baik," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan