Isu Penyewa di Alamanda: Kementerian Arah Pegawai Siasat

Diterbitkan: Jumaat, 1 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memandang serius masalah yang dihadapi oleh sesetengah penyewa di pusat membeli-belah Alamanda dengan mengarahkan pegawainya untuk menyiasat perkara itu.

Menteri berkenaan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kementeriannya mungkin mengkaji dan meneliti keseluruhan isu malah penyewa di Alamanda kerana tidak ada sebarang garis panduan khusus mengenai perkara itu.

"Pihak pengurusan Alamanda tidak sepatutnya terlalu mementingkan keuntungan sebaliknya perlu melihat dari segi tanggungjawab sosial dan pembangunan sesebuah perniagaan itu.

"Walaupun keuntungan adalah perkara pokok tetapi dalam masa yang sama dari segi kemanusiaan juga perlu diberi penekananan," katanya pada sidang akhbar berhubung isu pemilik butik pakaian Muslimah Zaida's Collection, Zaida Abd Aziz yang tidak dibenarkan meneruskan perniagaanya di pusat membeli-belah itu.

Zaida,44, berkata beliau terpaksa keluar berikutan kegagalannya untuk membayar sewa yang terlampau tinggi iaitu RM16,000 sebulan yang sebelum ini RM8,000.

"Bukan sekali dah dengar isu sewa dinaikkan ada yang sampai 100 kali ganda, kita pernah dengar isu di KLCC dan Kelantan Delight tapi akhirnya hilang begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini adalah mustahil untuk penyewa lama kekal di tempat yang sama kerana pihak pengurusan Alamanda sudah menandatangani perjanjian dengan penyewa baru.

Penyewa baru telah diberikan tarikh untuk memulakan perniagaannya di Alamanda dan agak sukar untuk meminta mereka membatalkan perjanjian atau tidak membenarkannya masuk.

"Jika ini berlaku mungkin mereka akan diambil tindakan oleh penyewa yang baru pula," kata Ismail Sabri.

Bagaimanapun, difahamkan pihak pengurusan Alamanda bersetuju menawarkan dua tempat kepada penyewa lama satu di sayap komersial di pusat membeli-belah tersebut dan satu lagi di bahagian Anjung di Kompleks E di bawah pengurusan Putrajaya Holding.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan