Isteri Usahawan India Beri Keterangan - Berita Semasa | mStar

Isteri Usahawan India Beri Keterangan

Diterbitkan: Jumaat, 1 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANTING: S. Usharani, isteri kepada usahawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilaporkan hilang di negara ini sejak awal tahun ini, selesai memberikan keterangan berhubung kehilangan suaminya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini, Khamis.

Usharani, 27, tiba di IPD berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi untuk menandatangani keterangan yang diberikan sebelum ini.

Beliau berada di IPD tersebut kira-kira sejam dan ketika ditemui, Usharani berkata beliau yakin polis dapat menyelesaikan kes tersebut dengan secepat mungkin.

"Saya puas hati dengan kerjasama yang diberikan polis selama keterangan saya diambil." katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai keterangan tersebut dan menurutnya beliau akan pulang ke Ramapuram, Chennai, India kira-kira pukul 9.30 pagi esok.

Sebelum ini beliau telah membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada 8 Sept lepas dan memberi keterangan berhubung perkara itu di IPD ini pada 23 September dan semalam.

Kehilangan Muthuraja, 34, itu turut dikaitkan dengan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain apabila mangsa dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lepas. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan