BN Akan Tetap Letak Calon Di Galas - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 1 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan tetap meletakkan calonnya bagi menyertai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan walaupun diminta tidak berbuat demikian oleh parti pembangkang.

Malah Perdana Menteri berkata parti itu akan meletakkan calon yang terbaik bagi menghadapi pilihan raya kecil itu.

"Sukar bagi kita tidak bertanding. Mengikut amalan demokrasi, sesuatu kerusi bila kosong atas sebab kematian perlu diadakan pilihan raya kecil," katanya kepada media selepas melawat Pameran Pertandingan Reka Bentuk Hospital Kerajaan di Kementerian Kewangan di sini Jumaat.

"Sekali saja kita tidak buat kerana bila sengaja dikosongkan kita rasa membazir dari segi kewangan," katanya merujuk kepada kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata bagi kawasan Galas terdapat keperluan untuk menggantikan wakil rakyat bagi kawasan tersebut. "Jika kita tidak bertanding maka rakyat di Galas tiada pilihan. Bila bertanding sekurang-kurangnya mereka ada pilihan sama ada mereka mahu Barisan Nasional atau PAS. Jadi itu amalan demokrasi yang sihat di negara kita."

Ditanya tentang pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Anggota Parlimen Gua Musang sebagai pengarah pilihan raya kecil itu dan tidak sebagai calon, Najib berkata, "Saya gembira bahawa beliau sedia dan beliau komited untuk bekerja keras bagi memastikan BN menang."

"Kita tidak mahu cakap mengenai calon pada peringkat ini. Saya masih tunggu senarai bakal calon. Saya tidak mahu ramal siapa bakal tetapi kita mahu letak calon yang paling sesuai," kata Najib.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, daripada Pas di Kuala Lumpur pada Isnin lepas akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya parlimen Gua Musang daripada BN dengan majoriti 646 undi. Selain Galas, dua lagi DUN yang terletak dalam Parlimen Gua Musang ialah Nenggiri dan Paloh.

Mengenai momentum yang dicipta parti pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya, Najib berkata, "Itu urusan mereka wujudkan ini dan adalah menjadi urusan kita untuk wujudkan momentum tersebut bagi pihak kita kerana kadangkala mereka wujudkan momentum yang palsu.

"Seperti yang anda tahu dua tahun lepas, mereka kata mereka akan tawan Putrajaya dan ia tidak berlaku.

Kegagalan 16 Sept sama sekali di pihak mereka. Malah jangan lupa mereka boleh wujudkan semangat palsu bahawa perkara (pilihan raya) bergerak ke arah mereka (berpihak kepada pembangkang).

" "Tetapi apa pun, adalah penting untuk BN bekerja keras dan dapatkan keyakinan rakyat," kata Perdana Menteri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan