SKMM Kemuka Tiga Kes Berunsur Hasutan, Antinasional Kepada Peguam Negara - Rais - Berita Semasa | mStar

SKMM Kemuka Tiga Kes Berunsur Hasutan, Antinasional Kepada Peguam Negara - Rais

Diterbitkan: Khamis, 30 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengemukakan kepada Pejabat Peguam Negara tiga kes melibatkan perbuatan antinasional dan berunsur hasutan yang boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk diambil tindakan selanjutnya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pihaknya berharap supaya kes-kes berkenaan akan dilihat daripada sudut perundangan semata-mata tanpa melibatkan unsur perkauman.

"Yang terakhir (kita hantar) minggu lalu tiga kes berkaitan dengan pelbagai perbuatan yang menyalahi bukan saja kedamaian kita tetapi mempunyai kecenderungan hasutan, jelik dan beberapa perkara yang berhubung kait dengan kesalahan komputer, kesalahan penggunaan transmisi penyedia perkhidmatan internet (ISP) dan lain-lain," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 Bunga Raya Bunga Kebangsaan yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini Khamis, Rais berkata beliau berpuas hati dengan tindakan yang dilaksanakan SKMM.

"Tapi terserah kepada pendakwa raya iaitu Peguam Negara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. Kami tidak boleh campur tangan dalam soal penentuan tersebut. Ini cuma dapat menzahirkan hasrat supaya pendakwaan dijalankan," katanya.

Dalam pada itu beliau juga menasihatkan generasi muda supaya mencintai negara dan tidak mengambil mudah terhadap tuntutan kesetiaan dan kecintaan kepada negara.

"Justeru amalan-amalan seperti menconteng foto diraja atau memperkecilkan lagu Negaraku atau berhemah dalam keadaan yang tidak memberi pengertian mesti kita hentikan," kata beliau. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan