Pelajar Indonesia Selamat Di Negara Ini - Mohamed Khaled

Diterbitkan: Rabu, 29 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NILAI: Kesemua pelajar Indonesia yang menuntut di pelbagai kolej dan universiti di Malaysia selamat dan mereka tidak menjadi mangsa balas dendam rakyat Malaysia terhadap insiden lontar najis dan pembakaran Jalur Gemilang di Jakarta, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, terdapat 6,000 pelajar Indonesia dan ratusan ribu rakyat mereka yang bekerja di negara ini tidak menerima tempias dari insiden itu.

"Kita beri jaminan bahawa pelajar mereka (Indonesia) berada dalam keadaan yang baik. Kita juga tidak mendapat maklumat bahawa pelajar Malaysia di Indonesia diapa-apakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Ekspo Inovasi Islam anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini Selasa.

Beliau bagaimanapun meminta supaya pelajar bersuara menjelaskan keadaan sebenar dan memainkan peranan pro-aktif untuk membentuk hubungan yang lebih baik di antara kedua-dua negara.

"Jangan biarkan orang di jalanan membentuk hala tuju hubungan kedua-dua negara. Kumpulan yang bijak pandai dan berilmu harus muncul untuk corakkan hubungan kedua negara ini," katanya.

Dalam majlis yang sama, Mohamed Khaled juga mengumumkan bajet untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti tempatan pada tahun 2011 akan ditingkatkan melebihi dana pada tahun-tahun sebelumnya.

"Saya tidak boleh beritahu berapa jumlah itu untuk 2011 tetapi ia jauh lebih tinggi," kata beliau.

Katanya, bajet itu ditingkatkan selaras dengan dasar negara ini yang mahu melihat ekonominya berkembang berdasarkan produk inovasi.

"Kita tidak boleh lagi mengharapkan pelaburan luar. Kita perlu berinovasi untuk buat produk sendiri selepas ini," katanya.

Beliau mengalu-alukan langkah USIM yang telah menyediakan Tabung Saintis Muda bagi membantu menyediakan dana untuk para pelajarnya membangunkan projek inovasi mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan