PAS Sarankan BN Berkompromi Pada Pilihanraya Kecil DUN Galas

Diterbitkan: Rabu, 29 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: PAS Pusat menyarankan supaya Barisan Nasional (BN) berkompromi dengan menyerahkan kerusi kepada parti PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah itu perlu demi perpaduan Melayu dan mengelakkan pergeseran politik terus berpanjangan antara kedua-dua parti induk orang Melayu itu.

Katanya adalah wajar jika kedua-dua parti itu tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu jika ingin melihat perpaduan di kalangan orang Melayu yang menjadi agenda utama negara.

“Bagaimanapun, adalah lebih baik jika kerusi itu diserahkan kepada PAS memandangkan kerusi DUN itu disandang oleh calon daripada parti berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media di Pameran Tortura iaitu alat penyeksaan di zaman pertengahan Eropah di Muzium Negeri, di sini, Selasa.

Che Hashim Sulaima, 46, daripada PAS, meninggal dunia akibat barah usus di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, semalam.

Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Takiyuddin berkata dengan cara demikian juga ia akan dapat menjimatkan perbelanjaan kewangan kedua-dua pihak dalam pilihan raya kecil. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan