DUN Galas: DHPP Sedia Tanding

Diterbitkan: Rabu, 29 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sedia bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan yang akan diadakan tidak lama lagi jika mendapat restu daripada PAS Pusat.

Bagaimanapun menurut Ketua DHPP, Hu Pang Chaw, sayap baru parti itu tidak bercadang untuk membuat sebarang tuntutan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

"DHPP sedia untuk bertanding, kami akan akur kepada apa jua keputusan parti. Kalau PAS Pusat putuskan untuk menurunkan calon daripada DHPP, kami akan terima.

"Tapi yang paling penting, DHPP tidak akan membuat sebarang tuntutan walaupun kami layak kerana sekarang kami juga merupakan sayap PAS," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Pilihan raya kecil bagi DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima daripada PAS akibat barah usus.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham mendapat 4,399 menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan Paloh.

Selain itu Hu berkata, DHPP akan menggerakkan jentera mereka bagi membantu parti pada kempen pilihan raya kecil DUN Galas nanti.

"Kami siap sedia bila-bila masa untuk turun berkempen, sekarang kita hanya tunggu arahan daripada kepimpinan tertinggi.

"Matlamat kami juga adalah untuk membantu memenangkan calon daripada PAS," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan