Jangan Timbulkan Isu Sensitif Bangkitkan Kemarahan Kaum Lain

Diterbitkan: Selasa, 28 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mencetuskan isu-isu sensitif terutamanya mengenai agama yang boleh membangkitkan kemarahan kaum lain seperti umat Islam.

Katanya, semua pihak harus mengakui bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan dan perkara itu harus dihormati oleh rakyat di negara ini termasuk bukan beragama Islam.

"Saya memperingatkan semua pihak terutamanya bukan Islam supaya faham sensitiviti agama tidak hanya menyentuh individu tetapi menyentuh bangsa dan penganut agama tersebut. Kesannya lebih dahsyat daripada pertembungan antara kaum atau etnik tersebut.

"Kena beringat jangan menyentuh soal sensitiviti. Ini satu kesepakatan bahawa Malaysia mengamalkan agama Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain bebas untuk mengamalkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kemelut Peradaban Remaja Masa Kini: Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr Rohana Yusof, Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Ahmad Ayob Ibrahim dan Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Profesor Madya Dr Mustaffa Abdullah.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentang oleh 10 penceramah termasuk bekas Pengurus Besar Bernama, Datuk Seri Azman Ujang pada persidangan selama dua hari anjuran bersama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Yayasan Taqwa dan Panel Sosial Perundangan Islam JAKIM.

Beliau diminta mengulas laporan tindakan seorang paderi yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad dan agama Islam dalam satu ceramah di sebuah gereja di Kuching, Sarawak yang disiarkan di internet.

Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA) Zainol Abideen dilaporkan berkata, paderi bernama Benjamin Stephen itu menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.

Jamil berkata, hanya pihak-pihak berwajib seperti polis dan mahkamah yang boleh mendakwa pihak yang terlibat.

"Kita bersetuju perkara itu dibuat penelitian oleh pihak berwajib seperti polis. Kuasa yang ada untuk mengambil tindakan hanya mahkamah, jadi mahkamah sebelum pendakwaan ada bukti yang konkrit supaya tiada kelemahan yang akan menyukarkan tindakan diambil terhadap pihak berkenaan," katanya.

Mengulas mengenai majlis pada hari ini, Jamil berkata aktiviti sebegini wajar diteruskan bagi membendung masalah remaja yang semakin meruncing pada waktu ini.

"Kita mengharapkan program sebegini anjuran badan kerajaan dan juga NGO supaya mereka dapat menyumbang idea dalam membendung masalah remaja yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini," katanya.

Katanya, peranan semua pihak terutamanya ibu bapa penting bagi memastikan gejala tidak sihat seperti mat rempit dan pembuangan bayi di kalangan remaja berjaya dikurangkan dari masa ke semasa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan