Lembaga Air Perak Umum Bonus Tiga Bulan Setengah

Diterbitkan: Isnin, 27 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Lembaga Air Perak (LAP) akan membayar bonus sebanyak tiga bulan setengah kepada kakitangannya tahun ini, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata pembayaran bonus itu akan melibatkan 1,100 kakitangan LAP dengan perbelanjaan RM6.6 juta.

"Bayaran pertama satu setengah bulan gaji telah dibayar awal bulan puasa manakala selebihnya akan dibayar pada akhir tahun ini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Zambry yang juga Pengerusi LAP berkata pembayaran bonus tahun ini adalah yang tertinggi dan ia dibuat ekoran prestasi cemerlang LAP secara keseluruhan.

Tahun lepas LAP membayar bonus dua bulan gaji.

Zambry berkata pencapaian itu adalah hasil kerja kuat semua kakitangan dan hasil yang baik itu perlu dihargai.

Beliau berkata mereka layak menerima bonus itu kerana setimpal dengan yang diusahakan dan adalah diharapkan agensi lain akan berusaha mengikut jejak LAP yang menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam pada itu, Zambry berkata LAP juga telah diarah berusaha mengatasi masalah berkaitan dengan penyaluran paip bagi membekalkan air ke kawasan pedalaman.

Mengenai prestasi LAP, beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, LAP mencatat jualan air sebanyak RM179.77 juta berbanding RM169.39 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Peningkatan itu adalah sebanyak RM10.38 juta (6.1%) manakala pendapatan lain dalam tempoh sama pula adalah sebanyak RM22.01 juta berbanding RM19.98 juta tahun 2009 iaitu peningkatan sebanyak RM2.03 juta (10.1%).

Sebahagian besar peningkatan ini disumbang oleh peningkatan dalam pendapatan faedah dan dividen sebanyak RM1.53 juta, katanya.

Jumlah anggaran keuntungan bersih sebelum cukai tahun adalah sebanyak RM70.32 juta berbanding dengan RM42.52 juta pada tahun 2009 dengan peningkatan sebanyak RM27.80 juta (65.4%), katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan