Hina Islam: Kerajaan Tidak Berdiam Diri - Mashitah - Berita Semasa | mStar

Hina Islam: Kerajaan Tidak Berdiam Diri - Mashitah

Diterbitkan: Isnin, 27 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam di negara ini, bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata perkara itu tidak boleh terus dibiarkan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang menghina Islam.

"Tidak boleh setakat dimaafkan. Kalau tidak orang Islam akan bangun dengan satu kemarahan yang akan berbentuk perkauman.

"Saya khuatir akan berlaku (sesuatu) kalau tindakan tegas tidak ambil," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Waqaf Malaysia bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini pada Isnin.

Beliau diminta mengulas berhubung kewujudan beberapa klip video dalam laman web YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.

Dalam laporan akhbar hari ini, Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen berkata paderi yang didakwa bernama Benjamin Stephen itu dikatakan menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.

Mengulas lanjut, Dr Mashitah yang kesal terhadap perkara itu, menggesa Jabatan Agama Islam Sarawak, yang bertanggungjawab terhadap isu itu, supaya segera membuat penyiasatan agar ia tidak berleluasa.

"Sebelum ini, kita cuma dengar (penghinaan terhadap Islam) di Barat sahaja...ancaman bakar Quran. Kalau penyakit ini berjangkit dalam negara, perkara ini harus dilihat secara serius.

"Apa pun, dalam hal ini kalau bertepatan, KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu ambil tindakan dan pada masa sama, umat Islam diingatkan supaya kefahaman tentang Islam dipertingkatkan," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan