Pakar Halal Puji Usaha Malaysia Merintis Pemprosesan Makanan Halal

Diterbitkan: Ahad, 26 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

FRANKFURT: Seorang pakar Jerman mengenai persijilan halal memuji Malaysia yang merintis usaha dalam bidang pemprosesan makanan halal.

Mohmoud M. Tatari, Pengurus Besar Ruesselsheim-based Halal Control e.V., yang mengesahkan produk halal dan mengeluarkan sijil halal kepada syarikat pengeluar dan pemproses makanan di Eropah, berkata agensi itu turut diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Malaysia bermula lebih awal dalam mengenakan syarat dan standard pematuhan halal. Malahan, Malaysia telah lebih awal menetapkan syarat halal yang perlu diamalkan," kata Tatari di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Perdagangan Malaysia di Frankfurt Mohd Sabri Ab Rahman.

Sabri berkata beliau yakin dengan peningkatan profil Malaysia sebagai pembekal produk halal berkualiti tinggi di Jerman dan negara Eropah lain yang terletak di bawah bidang kuasanya.

Menyatakan Malaysia sebagai antara negara Islam paling moden, daripada segi pembangunan teknikal dan ekonomi, Tatari, yang berasal dari Syria, berkata walaupun produk halal hanya digunakan oleh penduduk Islam di Jerman, beliau berharap ahli politik Jerman akan menyokong usaha industri halal untuk mendapatkan suara di kalangan masyarakat.

Berikutan wujud prejudis meluas dan kekurangan pengetahuan mengenai produk halal di Jerman, majoriti rakyat Jerman tidak tahu apakah maksud halal dan percaya ia ada kaitan dengan penyebaran agama Islam, dengan itu Tatari berusaha untuk membetulkan salah tanggapan mengenai halal.

"Halal tiada kaitan dengan penyebaran agama Islam. Ia lebih kepada mematuhi syarat kebersihan dan ritual tertentu dalam agama Islam tetapi tiada agenda agama di belakangnya.

"Islam menetapkan haiwan perlu dilayani dengan perikemanusiaan dan penuh hormat, malahan ketika mahu disembelih. Menurut Islam, haiwan tidak boleh didera secara fizikal atau mental," jelasnya.

Pasaran halal Jerman bernilai 4 hingga 4.5 bilion euro. Jerman merupakan pengeksport utama produk makanan halal ke beberapa negara.

Malahan, kira-kira 42 peratus daging halal yang dikeluarkan dan diproses di Jerman dieksport ke Timur Tengah, Sepanyol dan negara-negara lain, menurut Tatari.

"Jumlah masyarakat yang menggunakan makanan halal di Jerman adalah besar," katanya dan menurutnya Malaysia diakui bagi kualiti dan keefisienan.

Tatari juga berkata terdapat potensi perniagaan yang besar bagi produk halal Malaysia dalam pasaran Jerman yang mempunyai populasi 74 juta penduduk. Katanya eksport produk halal ke Jerman mencatatkan pertumbuhan antara 12 dan 15 peratus malahan semasa kemelesetan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan