Mas Selamat Diusir Selepas Didapati Tidak Ancam Negara

Diterbitkan: Ahad, 26 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Tindakan mengusir Ketua Wakalah Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari pulang ke republik itu dibuat selepas keputusan mendapati warga republik berkenaan tidak lagi menjadi ancaman kepada Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan keputusan dibuat selepas rundingan antara kedua-dua negara selain agensi keselamatan, risikan dan pasukan khas mengesahkan pemimpin JI berkenaan bukan merupakan satu ancaman.

"Saya diberi maklumat Mas Selamat tidak menjadi ancaman kepada negara kita lagi. Kebetulan Mas Selamat berasal dari Singapura dan saya telah nyatakan dari dulu lagi, mereka yang datangnya dari negara lain, kalau tidak bawa ancaman kepada kita, saya mahu mereka diusir kembali kepada negara asal," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Sembrong, di Taman Sri Lambak, di sini, Sabtu.

Mengenai kemungkinan pengusiran dilakukan atas permintaan Singapura ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat ke republik itu baru-baru ini, Hishammuddin berkata permintaan terhadap Mas Selamat oleh Singapura sebenarnya telah dilakukan sejak sekian lama.

"Permintaan dibuat kerana Mas Selamat adalah warganegara sana (Singapura) tetapi selagi kita (Malaysia) tidak berpuas hati Mas Selamat tidak menjadi ancaman ataupun jejaskan negara kita, kita perlu membuat apa jua pertimbangan dalam konteks penahanannya. Hari ini, dengan siasatan kita sendiri, saya rasa masanya sudah sampai untuk kembalikan Mas Selamat di bawah tahanan negara sendiri," jelasnya.

Mas Selamat ditahan pada 1 April tahun lepas setelah dikesan bersembunyi di Johor sejak Mac 2008.

Pemimpin JI itu sebelum ini pernah ditahan pihak berkuasa Singapura bagaimanapun berjaya meloloskan diri dari Pusat Tahanan Jalan Whitley pada 27 Februari tahun lalu ketika dia ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) republik itu.

Mengenai penahanan kartunis Zunar semalam, Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata penahanan dibuat setelah mendapati kartun yang dihasilkan kartunis portal pembangkang itu turut berhubung kait sistem perundangan negara dan agama termasuk isu kalimah Allah.

"Ramai cuba gembar gemburkan penahanan itu berkisar kepada kartun yang menyentuh kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tetapi maklumat yang saya terima daripada pihak berkuasa mengatakan kartun-kartun yang dihasilkan juga berhubung kait sistem perundangan kita, agama, isu kalimah Allah yang diputar belitkan," katanya.

Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque, 49, ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghasilkan buku Cartoon- O-Phobia yang menyentuh isu-isu sensitif yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Beliau ditahan di pejabat penerbitan miliknya, Sepakat Efektif Sdn Bhd di ibu negara kira-kira pukul 4 petang, Jumaat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan