Guan Eng Sahkan Guna Dana Judi Basmi Kemiskinan

Diterbitkan: Ahad, 26 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Menteri, Lim Guan Eng akhirnya mengesahkan bahawa kerajaan negeri menggunakan dana daripada sumber perjudian untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Kenyataan terbaru itu dilihat bertentangan dengan penjelasannya sebelum ini yang menafikan bahawa kerajaan negeri menggunakan wang judi bagi pemberian wang ihsan kepada rakyat.

Bagaimanapun menerusi laman sosial twitter miliknya, Guan Eng menjelaskan bahawa kerajaan negeri mengasingkan dana pelbagai sumber untuk diagihkan bagi membasmi kemiskinan tegar di negeri itu.

"Derma Kelab Lumba Kuda untuk anti-kemiskinan kerajaan Pulau Pinang asingkan kerana ada bukan Islam juga yang miskin.

"(Penerima) Yang Islam dari hasil kerajaan negeri yang tidak ada lesen judi," katanya pada Sabtu.

Media hari ini melaporkan pendedahan Pergerakan Pemuda Umno mengenai sepucuk surat yang didakwa sebagai bukti bahawa kerajaan negeri memperoleh sumber perjudian untuk disalurkan kepada golongan miskin.

Surat tersebut yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di Komtar, ditujukan kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000.

Surat bertarikh 9 Julai 2010 itu ditandatangani Setiausaha Sulit Ketua Menteri, Farida Hani M. Yacob, mengesahkan bahawa sumbangan tersebut sudah diterima kerajaan negeri.

Sementara itu, sumber dalaman kerajaan negeri turut mempersoalkan mekanisme perlaksanaan agihan bantuan bagi membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

"Jika benar kerajaan negeri mengasingkan wang derma daripada sumber perjudian dan sumber yang tidak terlibat dengan perjudian, akaun mana semua wang berkenaan disimpan?

"Bagaimana kalau semuanya dimasukkan dalam satu akaun? Bolehkah kita tahu wang itu halal atau tidak kalau sudah disatukan, melainkan kerajaan negeri mempunyai dua akaun," katanya kepada mStar Online.

Menurut sumber berkenaan sepanjang pengetahuannya, semua wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun yang sama daripada pelbagai sumber dana kewangan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan