Gangguan Bekalan Air Di Kawasan PJ Pulih Mulai Petang Ini - Syabas

Diterbitkan: Ahad, 26 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembaikan kerosakan injap akibat kebocoran pada flange adaptor injap bersaiz 1800mm di Wilayah Petaling semalam, selesai kira-kira pukul 5.30 pagi ini dan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat bermula petang Ahad.

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam satu kenyataan memaklumkan kontraktor yang dilantik Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memulakan kerja pembaikan yang merupakan sebahagian daripada kerja pengalihan paip di persimpangan jalan 17/1 dan 16/6, Petaling Jaya kira-kira 5.30 petang Sabtu.

"Bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna mulai 6.30 pagi ini. Mengikut jadual, para pengguna dijangka akan menerima bekalan air seawal-awalnya petang ini dan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat-peringkat bermula petang ini sehingga lewat petang esok," katanya.

Katanya, kawasan yang terletak di tanah tinggi dan jauh dijangka paling akhir menerima bekalan air berbanding kawasan yang rendah.

SYABAS memaklumkan pihaknya telah menggerakkan sebanyak 32 buah lori tangki air bagi membekalkan air bersih ke kawasan yang terlibat untuk mengurangkan kesan gangguan kepada pengguna.

Pusat Operasi Krisis SYABAS di Ibu Pejabat dan Wilayah Petaling akan terus beroperasi 24 jam bagi memantau operasi pembekalan air sehingga semua kawasan gangguan pulih sepenuhnya.

"Para pengguna di kawasan terlibat juga adalah dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan tersebut," katanya.

Para pengguna disarankan menghubungi talian bebas tol Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di 1800-88-5252 yang beroperasi 24 jam atau SMS dengan menaip PUSPEL jarak aduan atau pertanyaan ke 39222 untuk tindakan segera oleh SYABAS.

Pengguna juga boleh melayari laman sesawang Twitter dengan menaip www.twitter.com/puspel serta membuat carian " puspel syabas" di Facebook. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan