SPRM Serbu Ibu Pejabat Perhilitan

Diterbitkan: Sabtu, 25 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pegawai pencegah rasuah menyerbu ibu pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Cheras dekat sini berikutan dakwaan rasuah dalam pengeluaran permit-permit hidupan liar.

Difahamkan, pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pergi ke ibu pejabat Perhilitan pada pagi Selasa sebelum merampas fail, dokumen-dokumen dan komputer riba yang mempunyai kaitan dengan pengeluaran permit dan lesen hidupan liar bagi membantu siasatan mereka.

Menurut sumber jabatan, pegawai SPRM meminta untuk menyiasat pegawai berpangkat tinggi yang bertanggungjawab secara keseluruhannya dalam mengawasi dan mengeluarkan lesen serta permit hidupan liar.

Walaupun pegawai yang dipercayai bertanggungjawab memberikan sokongan dan mengesyorkan kelulusan permit itu bercuti, pegawai SPRM tetap dibenarkan untuk memasuki pejabatnya.

Semasa serbuan itu, dipercayai beberapa pegawai juga telah ditemu bual.

Dalam pada itu, ketika dihubungi, pegawai kanan Perhilitan mengesahkan SPRM telah berada di ibu pejabat Perhilitan untuk menjalankan satu siasatan tetapi enggan mengulas lanjut.

Dia juga menolak untuk membuat spekulasi jika terdapat mana-mana permit hidupan liar yang dikeluarkan untuk peniaga hidupan liar terkenal Anson Wong atau anggota keluarganya telah dibatalkan.

Sementara itu Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali menegaskan kedatangan pegawainya ke Perhilitan adalah semata-mata 'lawatan' dan bukan serbuan.

Beliau bagaimanapun menolak untuk mengulas lanjut.

Ibu pejabat tersebut merupakan satu daripada tiga cawangan pejabat di negara ini selain cawangan Pulau Pinang dan Johor yang bertanggungjawab dalam pengeluaran permit-permit hidupan liar.

Bagi pengendali haiwan liar, terdapat tiga jenis permit dan lesen.

Satu lesen diperlukan untuk pemegang mengawal hidupan liar yang dilindungi seperti ular sawa seperti yang terkandung dalam Jadual Dua, Empat dan Lima Akta Perlindungan Hidupan Liar manakala satu permit khas diperlukan untuk spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti harimau Malaya, badak Sumatera dan Orang Utan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan