Kerajaan Setuju Jual Empangan Bakun

Diterbitkan: Sabtu, 25 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan bersetuju menjual Empangan Elektrik Hidro Bakun di Belaga kepada Kerajaan Sarawak, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Chin memberitahu Bernama bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah memulakan perundingan untuk menentukan harganya.

"Sarawak menawarkan untuk membeli. Kerajaan Persekutuan kata okay."

"Oleh kerana mereka mahukan elektrik itu kekal di Sarawak, kami tidak akan meneruskan projek kabel dasar laut."

"Berasaskan perkara itu, mereka mahu membeli dan kami kini berbincang mengenai harganya," katanya.

Katanya projek empangan Bakun, di bawah Kementerian Kewangan Inc, kini bersedia digenangi air.

"Usaha memenuhkan takungan empangan itu, seluas pulau Singapura, dijadual dimulakan bulan depan," katanya.

Projek Bakun itu, iaitu empangan elektrik hidro terbesar di Malaysia, terletak di Sungai Balui di hulu lembangan Sungai Rejang, kira-kira 37km di sebelah hulu Belaga.

Projek elektrik hidro itu mula-mula dicadangkan pada awal 1980'an oleh Kerajaan Persekutuan untuk mempelbagaikan sumber kuasa negara ini dan mulanya diberikan kepada Ekran Bhd, iaitu sebuah syarikat yang dikuasai Tan Sri Ting Pek Khing.

Kerja fizikal empangan itu bermula pada 1994.

Sarawak Hidro telah diwujudkan bagi mengambil alih pembangunan dan pengurusan projek itu pada 2000 selepas krisis kewangan Asia 1997-98 melumpuhkan projek itu.

Pada akhir 2002, satu konsortium yang diketuai Sime Darby memenangi tender kompetitif untuk melaksanakan kerja-kerja awam bagi empangan itru pada harga kurang RM1.8 bilion.

Kos keseluruhan Bakun secara rasminya diletakkan pada harga RM7.3 bilion, tetapi berikutan lebihan kos, ganti rugi bagi kelewatan dan kadar faedah, kos muktamadnya dikatakan telah meningkat tinggi. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan