Pemilihan PKR: Tiada Aduan Politik Wang, Pengundi Hantu Setakat ini

Diterbitkan: Rabu, 22 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menerima sebarang aduan membabitkan politik wang dan pengundi hantu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, sehingga kini jawatankuasa itu menerima 176 aduan sepanjang proses pemilihan membabitkan calon, proses pemilihan dan masalah disiplin. Beliau berkata, siasatan sedang dilakukan membabitkan aduan berkenaan dan sekiranya didapati bersalah JPP akan mengambil tindakan.

“Setakat ini kita tidak ada terima aduan mengenai politik wang. Jika ada kita mintak ahli parti salurkan kepada kita (JPP).

“Semua aduan yang diterima akan diteliti oleh JPP bagi membolehkan tindakan susulan diambil. Malah, tindakan sudah diambil berdasarkan aduan yang diterima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, pada Rabu.

Menurut Saifuddin, sehingga kini 84 daripada 204 cabang PKR telah mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing dengan 67 daripada cabang berkenaan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan peringkat cabang masing-masing.

“Cabang-cabang lain akan melaksanakan mesyuarat agung masing-masing berperingkat-peringkat sehingga pemilihan parti berlangsung November ini,” katanya.

Mengenai isu pemilihan parti, beliau berkata, bagi jawatan Presiden setakat ini hanya dua nama yang dicalonkan, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Bagi jawatan, timbalan presiden, empat calon telah melepasi kuota pencalonan mereka iaitu Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim, Tian Chua dan Mustafa Kamil Ayoob.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden 15 calon layak bertanding, mereka adalah, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Datuk Seri Chua Jui Meng, Tian Chua, Fuziah Salleh, Dr Mansor Othman, Dr Lee Boon Chye, Yahya Shaari, Nurul Izzah Anwar, Azmin ali, Shamsul Iskandar R. Sivarasa, Mustafa Kamil Ayoob, Datuk Zaid Ibrahim, S. Manikavasagam dan Xavier Jeyakumar.

Seramai 74 calon layak bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pencalonan yang diterima oleh semua calon yang layak bertanding.

Bagi menjamin pemilihan yang adil dan saksama, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, calon-calon yang layak bertanding akan diberi peluang untuk menulis piagam calon mengenai diri serta aspirasi mereka berhubung pemilihan dan ia akan dipaparkan di laman web parti.

“Selain daripada itu, kita juga akan mencadangkan untuk membuka pentas untuk calon-calon yang layak bertanding ini untuk berdebat.

“Kita harap kaedah ini akan memberi ruang kepada ahli parti mengenali dan berinteraksi kepada calon-calon ini,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan