Pelan Transformasi Tidak Akan Berlaku Tanpa Perpaduan Kaum - PM

Diterbitkan: Rabu, 22 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelan-pelan transformasi yang dirangka kerajaan tidak akan berlaku tanpa perpaduan serta keharmonian antara kaum. Perdana Menteri berkata pada masa ini, kerajaan telah merangka beberapa pelan transformasi, antaranya Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bagi melonjakkan ekonomi negara.

"Sehari dua ini kita dengar tentang Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya. Ingat, tidak akan berlaku sebarang transformasi tanpa perpaduan dan keharmonian nasional," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis muhibah Perdana Menteri bersama pemimpin-pemimpin agama sempena sambutan Hari Malaysia di Kementerian Kewangan di sini, Rabu.

Najib berkata jika kerajaan memberi tumpuan kepada soal pembangunan dan ekonomi sahaja tanpa melihat kepada keperluan lain seperti perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama, maka negara akan hancur.

"Kita ada banyak contoh, negara maju boleh hancur jika tidak ditangani isu seperti ini (perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama).

"Di dunia ini ada banyak kepala yang tidak betul. Negara maju pun ada kepala yang tidak betul kerana dia tidak boleh terima sesuatu...melihat agama lain ada kebaikan...agama Islam ada kebaikan," katanya.

Perdana Menteri berkata persefahaman di kalangan rakyat negara ini, yang menganuti pelbagai agama boleh membantu dalam proses pembinaan kenegaraan.

Dalam pada itu, beliau menganggap kewujudan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di antara Penganut Agama, yang dipengerusikan Datuk Ilani Isahak, amat penting sebagai satu platform kerana banyak perkara boleh dibincangkan sama ada melalui hati ke hati, dalam suasana muhibah atau tertutup.

"Kalau kita buat kenyataan terbuka, amat sukar untuk tukar pendirian kita tanpa kita merasakan kita dimalukan kerana kita terpaksa buat kompromi dan sebagainya."

"Kita juga tidak mahu kalau kita buat kenyataan terbuka, orang lain tumpang semangkuk. Orang lain akan komen atas statement (kenyataan) kita dan akan jadi lebih buruk kerana sesuatu isu itu akan menjadi lebih hangat," katanya.

Perdana Menteri berkata istilah "Islam Fobia" seperti yang digambarkan oleh Time Magazine dalam keluarannya baru-baru ini, juga adalah sesuatu yang serius.

Beliau berkata ia menunjukkan tentang kejahilan penganut agama lain di beberapa negara lain terhadap Islam dan penubuhan jawatankuasa tersebut di negara ini, akan dapat mengatasi masalah seumpama itu.

"Punca kepada semua salah faham, kebimbangan dan konflik ini ialah kejahilan. Kerana tanpa memahami dan pengetahuan, tidak akan wujud muhibah dan persefahaman.

"Hakikatnya ialah jika anda menghargai antara satu sama lain, ini bermakna anda mempunyai asas yang kukuh untuk membina sebuah negara yang utuh dinamakan Malaysia," katanya.

"Sebab itu saya menggalakkan perjumpaan seperti ini. Saya yakin dan percaya, jika cara ini dilakukan dengan sebaiknya, setiap agama itu ada keindahannya," katanya.

Beliau berkata melalui jawatankuasa berkenaan juga, mereka boleh berganding bahu melaksanakan pelbagai program antaranya memerangi gejala dadah dan masalah remaja.

"Sebagai ketua kerajaan, saya menyokong penuh kewujudan jawatankuasa berkenaan," katanya.

Perdana Menteri juga berharap agar rakyat negara ini menggunakan pertimbangan yang bijak dan berhemah supaya tidak berlakunya kontroversi atau ketegangan yang boleh menyebabkan perhubungan yang renggang atau lebih serius di antara kaum.- BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan