Bekas Pemimpin USNO Rayu Menteri Dalam Negeri Hidupkan Semula "USNO 2006"

Diterbitkan: Rabu, 22 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Sekumpulan penyokong setia dan bekas pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang telah dibubarkan, merayu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya mengubah keputusan menolak permohonan mereka untuk menghidupkan semula Usno, yang dikenali sebagai "Usno 2006".

Presiden Jawatankuasa Penaja Usno 2006, Datuk Perais Sharif Baba berkata beliau berharap Kementerian Dalam Negeri akan menimbang rayuan mereka kali ini, sejajar dengan prinsip demokrasi dan 1Malaysia yang diamalkan di negara ini.

"Kami mengemukakan rayuan kami kepada Pendaftar Pertubuhan (di bawah Kementerian Dalam Negeri) pada 23 April tahun ini dan berharap mendengar berita baik mengenainya tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Turut hadir bekas naib presiden Usno dan pengasas bersama Umno Sabah Datuk Karim Ghani.

Perais berkata percubaan pertama mereka menghidupkan semula Usno 2006 telah ditolak ROS sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008.

Sementara itu, Karim berkata beliau ditugaskan kumpulan itu untuk mengumpul maklum balas daripada bekas anggota parti berkenaan dan orang ramai tentang pencapaian Sabah dalam tempoh 20 tahun lepas iaitu sejak Umno bertapak di negeri berkenaan.

Katanya berdasarkan hasil soal selidik di seluruh Sabah, majoriti bekas pemimpin Usno berasa mereka dipinggirkan dan oleh itu mahu Usno dihidupkan kembali untuk meneruskan perjuangan politik mereka.

Bagaimanapun, Karim mengaku peluang untuk Usno dihidupkan kembali hampir tiada berdasarkan landskap politik semasa di negara ini.

Ditanya tentang tindakan yang mungkin diambil kumpulan itu andainya rayuan mereka tidak membuahkan hasil, beliau berkata mereka perlu berbincang sesama sendiri sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Karim enggan mengulas apabila ditanya sama ada mereka terus kekal bersama Barisan Nasional atau menyertai pakatan pembangkang secara beramai-ramai dan sekadar berkata pilihan raya umum akan datang adalah sesuatu yang menarik.

Usno dibubarkan oleh pengasasnya Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, sejurus selepas pilihan raya umum 1990 untuk membuka jalan kepada kemasukan Umno ke Sabah.

Usno diasaskan Tun Mustapha, ketua menteri ketiga Sabah dan parti itu memperoleh kuasa selepas memenangi pilihan raya negeri pada 1967. Parti tersebut terus berkuasa hingga 1975 di bawah kepimpinan Tun Mustapha dan sehingga 1976 di bawah kepimpinan Tun Mohammad Said Keruak. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan