PKR Lucut Keahlian Jenapala Februari 2009 - Saifuddin - Berita Semasa | mStar

PKR Lucut Keahlian Jenapala Februari 2009 - Saifuddin

Diterbitkan: Selasa, 21 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: P. Jenapala, yang berhasrat mahu bertanding Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti November ini telah dipecat keahliannya Februari 2009.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehubungan itu Jenapala tidak layak untuk bertanding mana-mana jawatan.

"Dia dipecat dari parti kerana mengkritik kepimpinan parti dan menubuhkan parti politik baru.

"Oleh itu, tindakan Jenapala mempertikaikan dan mengkritik integriti pemilihan 2010 dengan membuat tuduhan palsu bukan menghairankan kerana dia telah membuktikan sebagai pengkhianat," dakwa beliau dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Sebelum ini, Jenapala menafikan dakwaan oleh sesetengah pemimpin PKR bahawa beliau bukan lagi ahli parti dan mahu mereka yang membuat tuduhan itu membuktikan penglibatannya menubuhkan parti baru.

Dia juga mempersoalkan mengapa keahliannya dipersoalkan selepas mengumumkan mahu merebut jawatan Timbalan Presiden selain hairan tidak dimaklumkan tentang pemecatannya.

Jenapala juga mendakwa diketepikan bagi memberi laluan kepada calon pilihan penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan