Wong Tidak Akan Berubah Jika Tiada Tindakan Tegas Diambil

Diterbitkan: Isnin, 20 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penyeludup yang didapati bersalah menjual atau menyeludup hidupan liar seperti kes melibatkan Anson Wong perlu disekat daripada diberi lesen sekiranya pihak berkuasa bersungguh-sungguh untuk membanteras jenayah itu.

Penulis dari Amerika Syarikat, Bryan Christy berkata, Wong, atau sesiapa berkaitan dengan dia, tidak harus diberi lesen oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi melindungi spesies terancam.

Christy, yang menulis satu pendedahan mengenai Wong bertajuk “The Kingpin” dalam majalah National Geographic, berkata lelaki itu sepatutnya digambarkan dengan ayat yang lebih keras bagi mengingatkan masyarakat mengenai dirinya sebagai penyeludup hidupan liar.

“Sebetulnya hukuman yang diterimanya memberi satu pesanan lemah. Lebih mengecewakan apabila pihak Perhilitan tidak menangkapnya tetapi pekerja sistem penerbangan yang melakukannya,” katanya yang ditemubual melalui e-mel.

Dalam pada itu, Christy dalam kenyataanya tidak mempercayai, Wong, walaupun dihukum penjara selama enam bulan dan didenda RM190,000 kerana cuba untuk menyeludup 95 ekor ular tanpa permit baru-baru ini, akan mengubah caranya.

"Saya tidak fikir dia akan berubah selepas menjalani hukuman selama lima tahun di Amerika Syarikat, dan beberapa tahun di sebuah penjara di Mexico," kata Christy yang juga pengarang The Lizard King, sebuah buku mengenai penyeludupan hidupan liar.

Christy menyeru supaya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya membuat pembaharuan terhadap Perhilitan supaya jabatan itu dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pihak berkuasa pengurusan negara untuk hidupan liar sebagai ia di tadbir di bawah konvensyen perdagangan antarabangsa.

“Sepatutnya mereka perlu hentikan dengan semua idea lemah seperti ‘jawatankuasa audit', cadangan untuk ‘menyelia' Perhilitan dan menghentikan meminta mereka untuk menyiasat sendiri kes yang berlaku. Mereka sepatutnya mula mengambil tindakan sebenar. Ia memalukan,” katanya.

Christy berkata, dia yakin kepimpinan dalam Perhilitan sebagai halangan terbesar dalam proses pemuliharaan hidupan liar di Malaysia malah halangan itu lebih besar daripada Wong.

“Apa yang anda perlu lakukan adalah melihat bagaimana mereka mengendalikan kes apabila seorang penyeludup seperti Wong terdedah.

“Mereka tidak bertanya mengenai pihak yang gagal untuk menghalangnya. Mereka mempersoalkan siapa yang berani mendedahkan perbuatan dia.

"Malah mereka tidak meminta maaf untuk kegagalan yang dilakukan. Mereka kata mereka tidak mempunyai sebarang bukti dan itu adalah kegagalan," kata Christy.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan