Shahrizat Minta Lebih Banyak Prasarana Mesra OKU Dibina

Diterbitkan: Isnin, 20 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Agensi yang terlibat dalam membina prasarana dan kemudahan perlu mengubah cara pemikiran mereka dan mematuhi garis panduan 'reka bentuk universal' yang lebih mesra golongan orang kurang upaya (OKU), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata ini kerana pihaknya mendapati masih terdapat prasarana dan kemudahan yang dibina tidak mematuhi piawaian binaan mesra OKU sekaligus menyukarkan golongan itu menggunakan kemudahan berkenaan.

"Sikap sambil lewa ini mesti dihentikan, pihak yang melaksanakan pembinaan jalan raya dan bangunan mesti pastikan segala prasarana dibina mengikut reka bentuk universal. Di sinilah pihak berkuasa tempatan mesti jalankan tugas dengan amanah," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Pemulihan OKU 1Malaysia di sini hari ini berkata beliau amat kesal dan tidak berpuas hati dengan keadaan itu dan pihak bertanggungjawab dilihat seolah-olah tidak memahami atau menghayati penderitaan golongan OKU.

Persidangan yang berlangsung mulai hari ini sehingga 22 Septtember itu turut membincangkan bagaimana cara memperkasa ekonomi bagi golongan OKU menerusi pembekalan latihan yang bersesuaian dengan minat dan keupayaan mereka.

Turut hadir, Presiden Majlis Pemulihan Malaysia, Datuk Ghazali Yusoff dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Meme Zainal Rashid.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai pembukaan sekolah harapan yang menempatkan pelajar hamil yang disediakan kerajaan Melaka, beliau berkata pihaknya akan memantau perjalanan sekolah berkenaan dan berpendapat sekolah itu lebih berperanan sebagai sebuah rumah perlindungan.

Akhbar hari ini melaporkan lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan