Rukun Negara Akan Diperjelas Untuk Lebih Difahami - Rais - Berita Semasa | mStar

Rukun Negara Akan Diperjelas Untuk Lebih Difahami - Rais

Diterbitkan: Isnin, 20 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara akan terus diperjelas dan diperincikan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami intipatinya, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Isnin.

Beliau berkata pada masa ini, prinsip Rukun Negara yang mempunyai pautan dengan gagasan 1Malaysia hanya didengari tanpa difahami.

Katanya, bagi meningkatkan pemahaman di kalangan masyarakat, pihaknya akan memulakan kempen penjelasan intipati Rukun Negara menerusi pelbagai projek dan program kementerian itu mulai bulan depan.

"Kita akan mengadakan kempen yang lebih meluas dan berkesan untuk semua lapisan masyarakat bersekali dengan 1Malaysia supaya semua pihak memahami isian Rukun Negara yang dirasakan satu-satunya falsafah kenegaraan yang kekal, tetapi tidak mendapat tempat seperti yang diasaskan awalnya pada tahun 1970.

"Kementerian merasakan bahawa pembawaan dan amalan Rukun Negara harus dijadikan elemen yang nyata dan difahami terus-menerus oleh semua lapisan masyarakat," katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan bulanan kementerian tersebut di sini hari ini.

Rais berkata antara program dan projek yang dikenal pasti untuk diberikan penjelasan ialah menerusi pembudayaan muzik, pementasan, pelajaran dan pendidikan, program Komuniti Bestari dan ceramah oleh Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas di bawah kementeriannya.

"Bagi pelajar sekolah, kita kini merangka pelbagai program dengan kerjasama Kementerian Pelajaran termasuk mengadakan kuiz berkaitan Rukun Negara dan 1Malaysia.

"Di semua projek kerajaan pula, harus kita paparkan Rukun Negara itu sebagai satu piagam yang jelas supaya dapat mereka (masyarakat) lihat.

"Inilah harapan kita dan kita yakin kempen berterusan ini akan melahirkan semangat kekitaan yang lebih jelas dan mantap," katanya.

Rais berkata masyarakat yang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun adalah golongan yang kurang dapat menghayati prinsip Rukun Negara.

"Jadi kita kena cerita semula apa asasnya Rukun Negara itu. Apa ertinya Kepercayaan Kepada Tuhan (prinsip pertama) sehinggalah ke tatasusilaan (Kesopanan dan Kesusilaan), agar setiap baris yang lima itu difahami dari segi sebenar dalam konteks agama, kaum, jabatan dan bidang masing-masing," katanya.

Dalam ucapannya pada perhimpunan tersebut, beliau berkata Rukun Negara adalah satu pautan yang kuat untuk menyokong dan memantapkan lagi gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata bersama-sama dengan 1Malaysia, pihaknya akan memasukkan elemen Rukun Negara dalam semua projek dan program kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Rais turut menyeru supaya poster yang kekal berkaitan Rukun Negara dan 1Malaysia diadakan.

"Pejabat kita di negeri dan daerah mesti paparkan ini semua (poster Rukun Negara dan 1Malaysia)," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan