Malaysia-Singapura Selesai Isu Bayaran Pembangunan Tanah KTM Di Mahkamah Timbang Tara

Diterbitkan: Isnin, 20 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membawa isu tertangguh berhubung bayaran bagi pembangunan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik ini, yang akan dimajukan secara bersama oleh kedua-dua negara, ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan beliau dari Singapura Lee Hsien Loong di Istana di sini hari ini menyebut bahawa kedua-dua pemimpin itu bersetuju menyelesaikan isu berkenaan secara baik melalui timbang tara di bawah naungan Mahkamah Timbang Tara Tetap.

Kenyataan itu berkata kedua-dua negara mempunyai pandangan berbeza tentang caj yang perlu dibayar melibatkan Perkara-perkara yang Dipersetujui (POA) berhubung bayaran bagi tiga bidang tanah berkenaan di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands.

Tanah terbabit dijangka dimajukan sebuah syarikat usaha sama 60-40, M-S Pte Ltd, yang akan ditubuhkan antara Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia dan Temasek Holdings Ltd dari Singapura.

Najib dan Lee juga bersetuju menerima keputusan mahkamah berkenaan sebagai keputusan muktamad dan perlu dipatuhi.

Adalah difahamkan caj pembangunan, yang dikenakan terhadap mana-mana pihak yang ingin memajukan sebarang tanah di Singapura, adalah besar jumlahnya sekiranya tiga bidang tanah berkenaan ingin dibangunkan.

Perkara yang menjadi persoalan sekarang ialah berdasarkan POA yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1990, fasal tentang siapa yang perlu membayar caj pembangunan tidak begitu jelas.

Singapura membuat tafsiran bahawa syarikat yang akan memajukannyalah yang perlu membayar caj itu, manakala Malaysia pula berpendapat tiada sebarang kos perlu dijelaskan.

Bagaimanapun, Najib dan Lee bersetuju bahawa proses timbang tara berkenaan perlu mengikut laluannya sendiri dan tidak sepatutnya menjejaskan pelaksanaan POA terbabit serta inisiatif dua hala lain yang telah dipersetujui sebelum ini dalam rundingan pertama mereka di sini pada 24 Mei lepas.

Dalam rundingan itu, Malaysia bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands menjelang 1 Julai tahun depan, manakala tiga bidang tanah berkenaan akan diserahkan kepada M-S Pte Ltd untuk dimajukan secara bersama serta menukar beberapa keping tanah di Marina South dan Ophir-Rochor.

Bercakap pada sidang akhbar bersama dengan Lee kemudiannya, Najib berkata walaupun isu itu bukan merupakan masalah besar, tetapi ia penting kerana mereka mahu wujudnya suatu persetujuan (POA) yang mampu bertahan oleh ujian masa.

Najib berkata mereka mahu agar ia menjadi suatu perjanjian yang sah di sisi undang-undang dan betul daripada segi politik serta akan diterima oleh rakyat kedua-dua negara, termasuk generasi akan datang.

Najib berkata: "Perjanjian ini merupakan bab terakhir dalam aturan yang begitu tua usianya, yang dimulakan 20 tahun lepas.

"Kedua-dua kami gembira dan berasa lega dalam erti kata kami boleh menyifatkannya sudah selesai dan seterusnya, melangkah ke hadapan."

Beliau berkata Singapura dan Lee telah mempamerkan komitmen tinggi dalam menangani POA berkenaan, yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan memantapkan lagi versi lama POA itu.

Pada 22 Jun tahun ini, dalam rundingan susulan dengan Najib di Putrajaya, Lee menyampaikan tawaran Singapura berhubung penukaran tanah terbabit.

Selepas pertemuan itu, Lee menghantar tawaran berkaitan tanah itu, yang disemak semula, kepada Najib pada 28 Jun.

Najib menerima tawaran itu pada 17 September dan dua hari kemudian, Lee memberi jawapan untuk mengesahkan persetujuan beliau di mana, Kerajaan Singapura akan menyerahkan empat bidang tanah di Marina South dan sebidang lagi di Ophir-Rochor kepada M-S Pte Ltd, sebagai ganti bagi tanah POA.

Kedua-dua pemimpin itu berkata perbincangan tentang butiran lanjut pelaksanaan POA berkenaan oleh Pasukan Pelaksanaan Bersama akan dimuktamadkan pada 31 Disember ini.

Mereka juga mengulangi komitmen masing-masing terhadap perkara-perkara yang dipersetujui dalam rundingan pada 24 Mei, termasuk penubuhan syarikat usaha sama 50-50 antara Khazanah dan Temasek untuk melaksanakan pembangunan projek mercu tanda berkonsepkan bandar kesihatan di Iskandar Malaysia dan pembangunan bersama sistem transit aliran deras yang menghubungkan Johor Bharu dan Singapura. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan