Sultan Perak Berangkat Ke Ipoh Menaiki ETS

Diterbitkan: Ahad, 19 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun Mohd Ali berkenan berangkat pulang ke Perak dengan menaiki perkhidmatan Tren Elektrik (ETS, Ahad.

Baginda berdua berlepas dengan ETS pada pukul 2 petang dari stesen Sentral Kuala Lumpur, dan tiba di Ipoh dua jam kemudian. Turut mengiringi baginda berdua ialah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Pegawai Operasi ETS Azizullah Kinayapullah berkata sejak dilancarkan pada 12 Ogos lepas perkhidmatan ETS mendapat sambutan yang mengalakkan di kalangan orang ramai, terutama sekali pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

"Pihak kami sangat berbesar hati dengan sokongan dan permintaan dari orang ramai yang ingin mencuba sendiri perkhidmatan tren elektrik ini khususnya warga kota yang bertugas di Kuala Lumpur untuk pulang ke Ipoh," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata tawaran harga promosi tiket perjalanan antara Ipoh dan Kuala Lumpur pada kadar RM30 bagi satu perjalanan akan diteruskan sehingga sambutan tahun baru Cina tahun depan.

Perkhidmatan ETS akan ditambah dari enam perjalanan antara Kuala Lumpur dan Ipoh kepada lapan perjalanan sehari mulai 1 Oktober ini dengan waktu operasi dari Ipoh ke Kuala Lumpur seawal pukul empat pagi dan tamat 6.30 petang, manakala tren dari Kuala Lumpur ke Ipoh pula bermula seawal pukul 6.20 pagi dan tamat pada 9 malam, katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan