Keluarga, Kenalan Dan Ahli Politik Hadir Tahlil Sosilawati Dan Tiga Lagi

Diterbitkan: Ahad, 19 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 700 orang termasuk anggota keluarga terdekat, ahli politik dan kenalan rapat Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga lagi mangsa pembunuhan kejam menghadiri majlis tahlil di kediaman jutawan kosmetik itu di Taman Harmonis, Gombak di sini malam Sabtu.

Majlis tahlil yang dipimpin oleh Imam Surau Al-Khairiah, Gombak, Mohd Noor Syarun itu bermula selepas solat Isyak.

Anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, berkata beliau serta adik beradiknya amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantu sejak kehilangan ibu mereka.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Jailani Ngah yang turut hadir mengingatkan masyarakat agar tidak mengaitkan pembunuhan Sosilawati serta tiga yang lain itu dengan isu politik, perkauman dan agama.

"Keadilan perlu ditegakkan tetapi jangan kaitkan kejadian ini dengan isu politik, agama dan kaum.

"Kita juga berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana bekerja siang dan malam bagi menyelesaikan kes ini," katanya yang menyampaikan pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada keluarga allahyarham Sosilawati untuk "berehat".

Turut hadir anggota Exco Wanita Umno Datuk Maznah Hamid dan ahli keluarga terdekat tiga mangsa lain pembunuhan itu.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32; dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan