Nik Aziz Mahu Peranan Wartawan Dengan Ulama Seiring

Diterbitkan: Sabtu, 18 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu wartawan dan ulama memainkan peranan yang seiring untuk menjamin keselamatan ummah di dunia dan akhirat.

Mursyidul Am PAS itu berkata tanggungjawab kedua-dua golongan ini adalah sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah.

"Tinggal lagi, ulama menyampaikan dakwah melalui lisan manakala wartawan menyebarkan maklumat melalui mata pena.

"Oleh itu, mereka hendaklah bergerak seiring untuk kepentingan dan kesejahteraan ummah dunia dan akhirat," katanya berucap di majlis dialog Menteri Besar Kelantan dengan wartawan anjuran Urusetia Penerangan Negeri, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Abdul Rahman Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Ladang Rakyat Dr Azmi Razali Azmi.

Nik Abdul Aziz berkata beliau mahu golongan wartawan bertanggungjawab terhadap penulisannya kerana mereka juga akan turut dipersoalkan di akhirat kelak seperti ulama.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya ulama upahan seperti juga wartawan upahan kerana tidak menjalankan tugas berlandaskan etika kewartawanan dan sebagai ulama upahan, mereka tidak menyampaikan dakwah yang betul kepada umat Islam sebagaimana ajaran agama sebenarnya.

Ditanya sama ada beliau akan terus menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, beliau berkata, ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti.

"Saya tidak pernah menawarkan diri untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya, kecuali pertama kali ketika kerajaan campuran Barisan Nasional (BN)-PAS, pada 1974," katanya.

Menurutnya, keputusan sama ada bertanding atau tidak pada pilihan raya ke-13 nanti bergantung kepada kehendak pucuk pimpinan parti kerana beliau mengakui telah lama berkhidmat dalam parti dan semakin uzur. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan