Tan Sri Tan Kok Ping Ceritakan Versinya Kenapa Dia Bertengkar Dengan Pengurus Syarikat Penerbangan

Diterbitkan: Jumaat, 17 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Tan Sri Tan Kok Ping yang kini dalam siasatan polis berhubung dakwaan mengeluarkan kata-kata ancaman kepada seorang pengurus stesen syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jumaat muncul untuk menyatakan versi ceritanya pula.

Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang itu mendakwa isu yang berbangkit antaranya dengan pengurus itu hanyalah satu isu kecil yang telah sengaja diperbesar-besarkan.

Menurut Tan, beliau hanya mencabar kuasa pengurus itu apabila pengurus mengugut untuk menggunakan kuasanya menghalang Tan daripada memasuki pesawat pada 7 September lalu.

“Saya bagi tahu dia yang saya akan membuat aduan dan memastikan dia ditukar. Saya sebenarnya mahu dia tahu bahawa dengan sikap buruknya itu melayan penumpang, tidak mudah bagi dia untuk mendapatkan pekerjaan lain pada masa depan, itu saja,” jelas Tan.

Dalam insiden tersebut, Tan yang merupakan salah seorang anggota delegasi rombongan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ke Xiamen, China telah bertengkar dengan mengurus stesen syarikat penerbangan itu yang enggan membenarkan mereka menggunakan laluan kenamaan untuk memasuki pesawat.

Tan berkata, sebelum itu, rombongan berkenaan telah mengemukakan senarai nama-nama anggota rombongan untuk menggunakan laluan kenamaan.

“Tapi pengurus ini cuba menyusahkan semua orang dan apabila saya pergi berjumpa dengannya, dia tidak mahu bertolak ansur langsung dan mengarahkan sebahagian daripada nama yang terdapat dalam senarai rombongan di periksa seorang demi seorang sebelum melepasi kawalan keselamatan.

“Dia bekerja di bahagian hadapan dalam sebuah perkhidmatan yang sepatutnya membantu penumpang bukan menyusahkan penumpang,” ujar Tan.

Tan berkata, memandangkan beliau adalah ketua rombongan itu, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan semua anggota rombongan dalam keadaan baik.

Tindakan Tan mengeluarkan kata-kata berunsur ancaman itu telah menyebabkan pengurus stesen syarikat penerbangan berkenaan membuat laporan polis ke atas Tan.

Dalam pada itu, Tan juga menegaskan yang beliau akan turut membuat laporan polis ke atas pengurus itu minggu hadapan.

Beliau juga bercadang untuk mendapatkan nasihat guaman sama ada akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak media yang membuat laporan berkaitan kes berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan