Kuan Yew Patut Hormati Perasaan Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 17 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sepatutnya menghormati Malaysia sebagai negara jiran mereka sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian rantau ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Kuan Yew yang menuduh Malaysia menyisihkan dan menganaktirikan kaum-kaum lain yang terdapat di negara ini seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan perasaan negara jiran.

“Sebagai negarawan Asean yang dihormati beliau (Kuan Yew) tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyakitkan hati jiran.

“Sebagai jiran janganlah kita membangkitkan isu-isu sensitif yang tidak pernah wujud di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Veteran Komando Malaysia (KVKM) di Pusat Dagangan Dunia Putra pada Jumaat.

Baru-baru ini, Menteri Mentor Singapura itu dalam wawancara dengan akhbar New York Times telah mengkritik situasi hubungan kaum di Malaysia dengan mendakwa ia lebih buruk berbanding dengan keadaan di Singapura.

Dakwanya, keadaan hubungan kaum di Malaysia sepatutnya lebih baik berbanding sekarang jika negara republik kecil itu masih menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berharap pemimpin Singpura itu tidak mencurah ‘bara api’ terhadap situasi aman yang terdapat di Malaysia ketika ini.

“Gagasan 1Malaysia adalah terjemahan idea Perdana Menteri yang mahu mewujudkan bangsa Malaysia dengan kepelbagaian kaum yang mempunyai satu pemikiran yang sejati.

“Saya fikir eloklah Kuan Yew menjaga negaranya sendiri dan jangan sentuh hal ehwal negara lain sekiranya beliau tidak mahu disentuh secara peribadi oleh mana-mana pemimpin,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, ketidakadilan lebih banyak berlaku di Singapura berbanding Malaysia.

“Dalam bidang ketenteraan di Singapura berapa ramai orang Melayu yang dilantik menjadi Jeneral? Jawapannya hanya seorang sahaja orang Melayu yang menjadi Jeneral di sana.

“Sedangkan di Malaysia ramai orang bukan Melayu menjadi Jeneral. Kita tidak mahu menyentuh soal ini, apa yang penting, hormatilah negara jiran,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, anak-anak pesara tentera akan diberikan keutamaan pada pengambilan rekrut tentera darat sesi akan datang.

“Ini kerana berdasarkan pemerhatian kita dapati tidak ramai anak-anak bekas tentera ini menyertai bidang ketenteraan.

“Kita berharap usaha ini dapat mengalakkan lebih ramai anak bekas pesara tentera mengikut jejak langkah ayah dan ibu mereka bagi memperkuatkan barisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut mengumumkan bahawa, Kementerian Pertahanan akan menambah kuota kenaikan pangkat bagi anggota lain-lain pangkat (LLP) yang mempunyai kelayakan akademik ketika masih dalam perkhidmatan.

“Mereka yang berkelayakan ini akan memenuhi kuota-kuota tertentu yang akan dipertingkatkan oleh pihak kementerian.

“Hal ini bagi memberi penghargaan kepada mereka untuk menyandang jawatan yang lebih tinggi agar pengalaman yang mereka perolehi semasa berkhidmat dalam unit tersebut dapat digunakan apabila pelantikan dibuat kelak,” katanya.

Beliau berharap pelaksanaan langkah tersebut dapat mengalakkan lebih ramai anggota biasa akan menyertai unit LLP kerana potensi untuk menjadi pegawai terbuka luas sekiranya mereka memperlihatkan prestasi yang baik.

Mengenai penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khas untuk anak-anak bekas tentera, beliau berkata, maktab tersebut akan dibina di Perak dengan konsep pendidikan ‘imtiaz’ (keseimbangan ilmu duniawi dan akhirat) bagi melahirkan pelajar mempunyai asas pendidikan agama yang kukuh dan cemerlang dalam bidang profesional pada masa yang sama.

“100 peratus pengambilan pelajar di MRSM itu nanti akan diberikan kepada anak-anak anggota ATM yang masih berkhidmat dan anak-anak pesara tentera.

“Program ini akan dilaksanakan sebaik sahaja pembinaan MRSM ini akan dalam tempoh tertentu sebaik sahaja majlis yang dilantik oleh kementerian membuat keputusan lanjut mengenai pembinaannya,” ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan