Usahawan Diingat Tingkatkan Keselamatan Diri

Diterbitkan: Rabu, 15 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengasas kecantikan De Classic Life (DCL) dan D'Navechee Beauty Datuk Azlina Che Abdullah menasihatkan usahawan di Malaysia supaya menjadikan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain sebagai satu pengajaran.

Azlina berkata, semua usahawan seharusnya meningkatkan keselamatan diri dan sentiasa berhati-hati ketika berurusniaga supaya kejadian seperti itu tidak berulang.

"Sepatutnya semua usahawan perlu mempunyai pengawal peribadi selain menempatkan pengawal bersenjata di sekitar kawasan rumah untuk keselamatan ahli keluarga mereka juga," katanya kepada pemberita selepas melawat anak-anak Datuk Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak di sini.

Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan kekuatan dan ketabahan yang ditunjukkan oleh anak-anak Sosilawati dan yakin mereka bersedia dengan apa juga kemungkinan.

"Saya harap anak-anak beliau (Sosilawati) dapat meneruskan dan memajukan lagi delegasi perniagaan yang dijalankan oleh ibu mereka dan jika terdapat sebarang masalah bolehlah menghubungi saya," katanya.

Exco Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan yang turut melawat keluarga Sosilawati berharap kes itu dapat diselesaikan dengan kadar segera dan semua yang terlibat akan dijatuhkan hukuman setimpal.

"Kadang-kadang ada kes tertentu, yang melakukannya sahaja akan dijatuhkan hukuman tetapi yang mengarah dan merancang terlepas tetapi untuk kes ini saya harap tiada yang terlepas kerana ini adalah satu jenayah yang zalim," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan rumah Sosilawati.

Turut mengunjungi keluarga Sosilawati ialah Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan