Siasatan Kes Pembunuhan Sosilawati Perlu Diberi Keutamaan - Puteri Umno

Diterbitkan: Rabu, 15 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Puteri Umno hari ini meminta siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya diberi keutamaan supaya semua tertuduh dapat dihadapkan ke mahkamah dengan segera.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata bukan saja jenayah yang dilakukan tertuduh ke atas semua mangsa itu begitu kejam malah suspek utama sebelum ini dipercayai pernah terlibat dalam beberapa kes bunuh.

Justeru, pihak Peguam Negara diminta menyegerakan pendakwaan terhadap semua tertuduh dan memohon tarikh awal perbicaraan kes ditetapkan secepatnya bagi memastikan mereka yang bersalah akan menerima hukuman setimpal, katanya.

"Puteri Umno turut merakamkan rasa sedih dan simpati serta mengutuk jenayah tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh kumpulan penjenayah tersebut yang dipercayai didalangi seorang peguam bergelar Datuk," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Pada Ahad, polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Rosnah berkata dengan menyegerakan siasatan dapat mengelakkan 'justice delays justice denied' di pihak keluarga semua mangsa yang terpaksa menanggung penderitaan mental kerana kehilangan orang tersayang dalam keadaan menyayat hati.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, Rosnah berkata Puteri Umno juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kecekapan mereka dalam mengendalikan kes ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan