Pelajar Kolej Lemas Di Sungai Pahang

Diterbitkan: Selasa, 14 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Seorang pelajar Kolej Pahang Skills Development Centre dikuatiri lemas di Sungai Pahang berhampiran Kampung Serambi di Pekan petang Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan, DSP Amran Sidek berkata mangsa, Hasif Hariri, 20, yang beraya di rumah neneknya di Pekan dikatakan ke sungai berkenaan untuk menyiang ikan bersama rakan-rakannya.

"Ketika kejadian 4 petang itu, mangsa bersama empat lagi rakannya pergi menyiang ikan. Selepas selesai berbuat demikian, mereka turun ke dalam sungai untuk membersihkan diri masing-masing.

"Selepas membersihkan diri, tiga daripada mereka naik semula ke atas tebing manakala mangsa dan seorang lagi rakannya masih berada di dalam sungai.

"Mangsa kemudiannya cuba naik ke tebing dengan berpaut pada rakannya itu. Bagaimanapun rakannya tergelincir dan terjatuh semula ke dalam sungai bersama mangsa menyebabkan mangsa tenggelam dan dihanyutkan arus sungai yang deras," katanya.

Gerakan mencari mangsa segera dilakukan setelah pihak polis dihubungi dan operasi mencari dihentikan sehingga 7 malam.

Operasi mencari dan menyelamat disambung semula pada 8 pagi tadi tetapi masih belum berhasil. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan