Jangan Sebar Khabar Angin Mengenai Kes Sosilawati

Diterbitkan: Selasa, 14 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta supaya tidak menyebar sebarang khabar yang tidak benar atau berita tohmahan yang berkaitan dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya and tiga individu lain, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang membuat gesaan itu berkata beliau melihat kes berkenaan sebagai satu kejadian jenayah kejam dan berat yang merentasi batas kaum dan agama.

"Semua kaum dan agama dalam negara dengan nada yang sama mengutuk apa yang terjadi," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Katanya beliau berharap tindakan lanjut polis dan tindakan undang-undang nanti akan meredakan kemarahan orang ramai dan mampu menangani apa jua kemungkinan, termasuk menangani sebarang persepsi negatif antara mana-mana kaum.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Dua hari lepas polis mengesahkan suspek dalam kes kehilangan jutawan itu mengaku membawa semua mangsa ke sebuah ladang, sebelum mereka dipukul mati dan mayatnya dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di Kuala Langat.

Hishammuddin seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis dalam kes pembunuhan itu supaya membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pula dalam satu kenyataan di sini menegaskan kes pembunuhan itu tidak sama sekali berunsurkan perkauman.

"Ia adalah kes pembunuhan atau satu kes jenayah yang 'gruesome and cowardice," katanya.

Ismail turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau tafsiran sendiri dengan hanya mendengar khabar angin sehingga boleh memudaratkan keadaan.

Beliau berkata dengan tertangkapnya beberapa suspek, kes ini boleh dianggap selesai dan ia merupakan satu kejayaan bagi Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia.

"Siasatan akan disiapkan segera dan cadangan pertuduhan akan dikemukakan kepada pihak Peguam Negara agar mereka yang terlibat boleh diadili dan dihukum setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan