Peguam Adik-Beradik Suspek Utama Pembunuhan Sosilawati & 3 Individu

Diterbitkan: Isnin, 13 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LANGAT: Dua peguam adik-beradik merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang dibunuh, dibakar sebelum dibuang abunya di sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Polis kini sedang menyiasat sama ada adik-beradik terbabit turut bertanggungjawab terhadap empat lagi individu dilaporkan hilang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, polis sedang menunggu pengesahan forensik, namun dipercayai ia adalah Sosilawati, pelanggan kepada suspek utama bergelar Datuk.

Suspek utama itu dikatakan mengendalikan urusan jual beli tanah di Pulau Pinang untuk usahawan itu.

Beliau memiliki sebuah ladang di mana tempat semua mayat dibakar selepas mereka dipukul dengan kejam sehingga mati.

Berdasarkan siasatan awal, polis menemui abu yang dihapuskan pada sebatang sungai pada jarak kira-kira 4.2 kilometer dari ladang tersebut.

Mohd Bakri berkata, motif pembunuhan mungkin berpunca daripada persaingan perniagaan, hutang dan konflik dalam urusan jual beli tanah.

Difahamkan, pembelian tanah di Pulau Pinang bernilai RM25 juta bagaimanapun dijual semula pada harga RM200 juta.

Kali terakhir Sosilawati ditemui meninggalkan Kuala Lumpur untuk ke Banting pada 30 Ogos bersama pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, peguam Ahmad Kamil Karim, 32, dan pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38.

Misteri kehilangan mereka menarik perhatian umum.

“Polis percaya peguam berusia 41 tahun itu merupakan dalang di sebalik kehilangan itu dan berkemungkinan terbabit dalam empat lagi kes individu yang dilaporkan hilang,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat pada Ahad.

Adik-beradik terbabit merupakan antara lapan individu yang ditahan berikutan kaitan dengan kes kehilangan Sosilawati dan tiga individu bersamanya.

Enam yang lain termasuk dua wanita berumur antara 19 dan 45 tahun merupakan pengusaha ladang.

Polis berjaya menemui petunjuk baru berhubung kes itu berdasarkan tangkapan lapan individu menerusi kerjasama orang awam, media dan suspek-suspek yang ditahan sebelum ini.

Menurut Mohd Bakri, semua maklumat diperoleh daripada suspek yang ditahan sebelum memberi lebih banyak bukti menunjukkan kepada huraian berhubung kehilangan empat individu.

“Bagaimanapun, kami masih perlu melakukan ujian deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa tetapi peluang adalah tipis untuk mengesahkan mereka masih hidup,” kata beliau yang menjangkakan kemungkinan lebih banyak tangkapan dilakukan bagi membantu siasatan.

“Kami akan menyiasat adik-beradik itu berhubung harta, kereta mewah serta urus niaga mereka yang melibatkan jutaan ringgit,” tambahnya.

Polis turut menyiasat mengenai kehilangan RM4 juta yang dipercayai dibawa Sosilawati pada hari sebelum beliau dilaporkan hilang.

Mohd Bakri berkata, salah satu daripada kes empat individu yang hilang melibatkan seorang warganegara India yang menjalankan perniagaan restoran bersama rakan niaga adik-beradik itu.

Beliau berkata, polis akan terus menyiasat terhadap kes yang lain.

Lebih 60 polis di Ladang Gadong dan penyelam daripada Polis Marin di Sungai Panchau di Kampung Kanchong Laut bagi mencari bahan bukti pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain.

Pasuka forensik menjalankan siasatan di ladang berkeluasan 1.6 hektar itu di mana barang peribadi milik Sosilawati dijumpai termasuk jam tangan beliau.

Polis turut mengadakan sekatan laluan ke Ladang Gadong di Jalan Gadong, Tanjong Sepat, kira-kira 1 kilometer dari jalan raya itu.

Mohd Bakri berkata, polis sedang menyiasat ladang terbabit yang dibeli peguam itu kira-kira 30 bulan lepas bagi menentukan sama ada perjanjian dilakukan ‘secara betul’ atau tidak.

Beliau menambah, polis mahu mengenal pasti di mana pemilik ladang sebelum ini apabila difahamkan individu berkenaan turut hilang.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan