Kes Sosilawati: Empat Ditahan Mengaku Terlibat Dalam Pembunuhan

Diterbitkan: Isnin, 13 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bakri Zinin (tengah) ketika sidang media berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya di ibu pejabat polis Daerah Kuala Langat di Banting, Ahad. fotoBERNAMA
Bakri Zinin (tengah) ketika sidang media berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya di ibu pejabat polis Daerah Kuala Langat di Banting, Ahad. fotoBERNAMA

KUALA LANGAT: Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain mati dibunuh sebelum dibakar dan abu mayatnya dibuang di sebuah sungai berhampiran lokasi kejadian di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, keterangan itu dibuat berdasarkan pengakuan empat daripada lapan suspek yang ditahan.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Forensik PDRM dan Jabatan Kimia sedang melakukan siasatan bagi mengesahkan penemuan empat mayat di Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini pada Sabtu adalah Sosilawati bersama tiga individu lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.

"Berdasarkan hasil tangkapan polis terhadap empat suspek telah mendedahkan pengakuan mereka terlibat dalam satu kejadian pembunuhan yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Empat mayat yang dibunuh, dibakar dan dibuang abunya di sungai berhampiran tempat kejadian di sini," katanya pada sidang media di sini.

Mohd Bakri berkata, polis telah menangkap lapan individu sejak 10 September antaranya peguam bergelar Datuk dan adik serta remaja berusia 19 tahun.

Menurutnya, dipercayai keempat-empat mayat itu dibakar berdasarkan penemuan tempat pembakaran yang diperakui suspek.

“Bagaimanapun kita tidak dapat mengesahkan mereka yang dibunuh itu adalah Sosilawati dan tiga individu lain. Kita perlu tunggu hasil siasatan lanjut melalui pengesahan ujian deoksiribonukleik (DNA) dan sebagainya," katanya.

Selain Sosilawati, tiga individu terbabit adalah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak hampir dua minggu lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan