Jambatan Pulau Pinang Selamat Digunakan:PBSB

Diterbitkan: Isnin, 13 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) memberi jaminan Jambatan Pulau Pinang selamat digunakan meskipun tiga kabel bervoltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawahnya terbakar pagi Sabtu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Ahad, PBSB yang menyelenggara jambatan itu memberi jaminan ia selamat dan orang ramai tidak perlu risau meneruskan perjalanan mereka menggunakan jambatan tersebut.

Bagaimanapun, lorong kanan kedua-dua hala (arah pulau dari Kilometer 2 hingga Kilometer 2.2 dan tanah besar dari Kilometer 2.4 hingga 2.2) terpaksa ditutup sementara bagi memudahkan TNB menjalankan siasatan berhubung insiden kebakaran itu.

"Bagaimanapun, keadaan trafik di semua pintu masuk ke Jambatan Pulau Pinang di kedua-dua arah dari pulau dan Butterworth juga lancar," kata kenyataan itu.

Pengguna jambatan digalakkan menghubungi talian Bridgeline di 1300-1300-03 atau menggunakan Sistem Pengurusan Informasi Trafik dalam talian (OTIM) bagi maklumat terkini mengenai keadaan trafik.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa TNB mendedahkan hasil siasatan berhubung kebakaran tiga kabel bervoltan tinggi tersebut kepada orang ramai.

Katanya, bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa depan, TNB serta pihak berkuasa lain perlu menjalankan siasatan terperinci selain mencari alternatif bagi mengurangkan kesesakan di waktu kecemasan.

Dalam kejadian semalam, ribuan kenderaan terkandas lebih tiga jam di atas Jambatan Pulau Pinang berikutan kebakaran kabel yang mengakibatkan keadaan asap hitam berhampiran Kilometer 2 menghala ke George Town.

Kesesakan turut dilaporkan berlaku di Terminal Feri kedua-dua arah selepas orang ramai beralih menggunakan perkhidmatan tersebut.

Kejadian itu adalah yang kedua membabitkan kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang, kali pertama pada 1995. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan