Semua Umno Bahagian Di Kelantan Diminta Tidak Timbulkan Masalah Lagi

Diterbitkan: Ahad, 12 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JELI: Semua bahagian Umno di Kelantan diminta supaya tidak lagi menimbulkan sebarang masalah sebaliknya mula memperkuatkan kedudukan masing-masing bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Ketua Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini kerana tempoh pilihan raya umum sudah semakin hampir dan jika ada bahagian yang memberikan masalah, ia akan memberikan impak tidak baik terhadap parti dan juga memberikan persepsi buruk kepada masyarakat.

"Kita sudah separuh jalan (tempoh menghadapi pilihan raya)..kalau kita banyak masalah kita sukar untuk menang.

"Umno Kelantan akan merancakkan program menghadapi pilihan raya umum nanti dan segala masalah akan diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya di Darul Falah di sini, Ahad.

Lebih 7,000 masyarakat berbilang kaum hadir di rumah terbuka Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan