Kes Sosilawati:Peguam Bergelar Datuk, Adik Dan Enam Pekerja Ditahan

Diterbitkan: Ahad, 12 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANTING: Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd Bakri berkata polis membuat tangkapan pertama pada 10 September melibatkan lima orang.

Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan manakala seorang lagi suspek ditahan pada Ahad.

Beliau berkata hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.

Mengenai motif kejadian, beliau berkata ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urusniaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati.

Pada sidang akhbar itu, Mohd Bakri juga mengesahkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis Kuala Lumpur menyiasat kes tersebut kerana kesemua mereka dilihat pada kali terakhir meninggalkan pejabat Sosilawati di Kuala Lumpur.

Mengenai keluarga mangsa, beliau berkata mereka telahpun dimaklumkan dan polis menjelaskan kepada mereka bahawa pengesahan lanjut daripada pihak forensik dan Jabatan Kimia diperlukan untuk mengesahkan sepenuhnya tentang kematian kesemua mangsa.

"Apa yang saya boleh sahkan sekarang, pengakuan suspek menjurus ke arah itu," katanya.

Mengenai tahap siasatan, beliau berkata pihaknya tidak dapat menyatakan daripada segi peratusan namun kesemua perkara hanya dapat disahkan dan disempurnakan setelah polis menerima laporan forensik dan kimia.

"Laporan forensik dan kimia akan mengambil masa, dan keluarga mangsa dan media akan dimaklumkan sebaik sahaja kami menerima kesemua laporan lanjut mengenai perkara ini," jelas beliau.

Mohd Bakri meminta semua pihak agar bersabar kerana pasukan forensik masih di peringkat awal mengumpul bukti di tempat kejadian dan hanya mengesahkan telah menjumpai sebilah pisau di tempat kejadian.

Beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat tulang ditemui di tempat kejadian.

Ditanya bagaimana mereka dibunuh, beliau berkata perkara tersebut masih di peringkat awal dan tidak boleh mengulas lanjut kerana boleh menganggu siasatan.

Dalam sidang media tersebut, Mohd Bakri berkata suspek juga membuat pengakuan bahawa mereka terlibat dalam beberapa kejadian serupa.

"Mereka mengaku ada menggunakan modus operandi yang serupa dan kami kini menyiasat sekurang-kurangnya kehilangan empat orang yang dilaporkan sejak setahun yang lalu," jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada mereka terlibat dalam kejadian tersebut tanpa bukti forensik yang kukuh.

Beliau berkata kesemua suspek berumur antara 19 dan 41 tahun, dua daripada mereka adalah wanita dan mereka kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Difahamkan polis telahpun memperoleh kebenaran untuk menahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan kes itu.

Ketika diminta menjelaskan keadaan di tempat kejadian, Mohd Bakri berkata ia dikelilingi tembok, terdapat pokok kelapa sawit, serta beberapa kandang kambing serta bangsal lembu.

"Orang luar tidak akan dapat lihat sekiranya apa-apa berlaku di sebalik tembok tersebut," jelas beliau.

Mohd Bakri juga mengesahkan polis turut menyiasat 'Datuk' itu mengikut Akta Pengubahan Wang Haram.

"Kita ada mendapat beberapa maklumat bahawa beliau telah memiliki beberapa hartanah secara tidah sah dan kita mahu menyiasat perkara tersebut," tegas beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan